Thursday, June 20, 2013

Hentikan dron AS


Islamabad: Ahli politik Pakistan, Imran Khan semalam menggesa pemimpin kerajaan dan pegawai tentera merangka strategi bagi mengekang serangan dron Amerika Syarikat di barat laut negara itu.

Berucap di Parlimen selepas mengangkat sumpah, Imran berkata, pendekatan menyeluruh yang membabitkan panglima tentera perlu diambil segera bagi mengatasi masalah itu.


“Perdana Menteri, Ketua Tentera dan semua Ketua Menteri berkaitan perlu duduk bersama dan merangka dasar mengenai serangan dron ini,” katanya.

Imran, 60, sepatutnya mengangkat sumpah bersama ahli politik lain pada 1 Jun lalu, tetapi terpaksa menundanya kerana menjalani rawatan akibat kecederaan serius pada belakangnya kerana terjatuh ketika berkempen sehari sebelum pilihan raya. Imran yang mengetuai Parti Pakistan Tehreek-e-Insaaf adalah pengkritik tegar terhadap serangan misil AS yang menyasarkan militan Taliban serta al-Qaeda. Dalam ucapan itu Imran turut menggariskan polisi dan wawasannya untuk mempertanggungjawabkan kerajaan sambil memainkan peranan sebagai pembangkang. Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif telah mengkritik serangan dron sejak dilantik ke jawatan itu dan menggunakan ucapan sulungnya menggesa tindakan tentera AS itu dihentikan. Imran berkata, semua pihak perlu memastikan perang ke atas pengganas dikendalikan rakyat Pakistan sendiri.


“Dan ia tidak boleh menjadi perang kita kecuali serangan dron itu dihentikan,” katanya. Menurut data Biro Kewartawanan Siasatan Britain, sejak 2004, dianggarkan seramai 3,587 orang terbunuh di Pakistan akibat serangan dron. - AFP

No comments:

Post a Comment