Thursday, June 20, 2013

Keadaan di Istanbul kembali tenang

GAMBAR kelmarin menunjukkan seorang wanita melakukan protes senyap dengan berdiri seperti patung di Dataran Kizilay di Ankara, Turki.- AP


ISTANBUL - Polis pencegah rusuhan Turki semalam bertempur seketika dengan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di dua bandar di negara itu.
Namun, keadaan dilaporkan tenang di bandar raya ini apabila sejumlah penunjuk perasaan membuat protes senyap susulan penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan untuk menyuraikan mereka.
Di Dataran Taksim di sini, berpuluh-puluh penunjuk perasaan berdiri kaku sambil berdiam diri sebagai tanda bantahan semalam.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mendakwa berjaya menamatkan tunjuk perasaan itu yang tercetus hampir tiga minggu lalu.
Bilangan anggota polis di dataran ini juga telah dikurangkan berbanding beberapa hari lalu dengan lokasi tersebut mula dikunjungi pelancong malah, sistem pengangkutan awam turut beroperasi seperti biasa.
Protes senyap yang dimulakan oleh seorang pereka tari di Istanbul pada Isnin lalu itu turut merebak ke ibu kota Turki, Ankara serta bandar raya Adana dan Izmir.
Sementara itu, media tempatan melaporkan pertempuran semalam hanya berlaku di Ankara dan bandar Eskisehir apabila polis menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan.
Protes anti-Erdogan semakin lemah sejak polis menggempur Taman Gezi di Istanbul pada Sabtu lepas yang menjadi tumpuan penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa juga berjaya mengusir beribu-ribu penunjuk perasaan dari kawasan itu.
Taman Gezi yang terletak berhampiran Dataran Taksim di sini masih ditutup oleh polis setakat semalam.
Protes antipemerintah itu bermula apabila sekumpulan aktivis alam sekitar mengadakan bantahan terhadap projek pembangunan semula Taman Gezi pada 31 Mei lalu.
Tunjuk perasaan itu kemudian menjadi semakin meluas selepas Erdogan enggan menarik balik rancangan berkenaan.
Seramai empat orang maut dalam protes tersebut dan lebih 7,500 orang turut cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran itu.
Beratus-ratus orang turut ditahan di seluruh negara berhubung kejadian terbabit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2WhonL3g3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment