BANGKOK 29 Jun - Lapan anggota tentera maut apabila sebiji bom yang ditanam di tepi jalan meletup di wilayah bergolak selatan Thailand hari ini.
Serangan yang berlaku di daerah Krongpinang wilayah Yala itu turut mengakibatkan dua lagi anggota tentera dan dua orang awam cedera.
Insiden itu berlaku ketika trak yang membawa sepasukan anggota tentera dalam perjalanan pulang selepas bertugas semalaman di pangkalan tentera, terkena bom yang ditanam di tepi jalan.
Bom yang digunakan itu sangat kuat sehingga menyebabkan trak tentera musnah sepenuhnya. Seramai 10 anggota tentera menaiki trak itu dan lapan daripadanya maut, manakala dua lagi cedera.
Dua lagi orang awam yang ketika itu berada berhampiran kawasan kejadian turut cedera dalam serangan tersebut," kata jurucakap tentera, Kolonel Pramote Promin kepada AFP melalui panggilan telefon.
Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab, tetapi kumpulan pemisah pernah melakukan cara serangan yang sama sebelum ini.
Ketegangan di selatan Thailand sejak sembilan tahun lalu telah mengorbankan lebih 5,500 nyawa dengan anggota keselamatan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sering menjadi sasaran serangan.
Kerajaan Thailand turut mengadakan rundingan rasmi pertama dengan wakil kumpulan pemisah dari selatan, Barisan Revolusi Nasional (BRN) awal bulan ini, tetapi setakat ini masih gagal mencapai perjanjian dan keganasan terus berlaku.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan semalam, dua lelaki Islam, termasuk seorang ketua kampung ditembak mati di wilayah Narathiwat. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130630/lu_02/Lapan-tentera-maut-di-selatan-Thai#ixzz2XqVUUwkl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment