KAHERAH 29 Jun - Penunjuk perasaan antikerajaan menyerang sebuah pejabat pergerakan Ikhwan Muslimin di Iskandariah yang menyebabkan dua orang maut termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat (AS), semalam.
Manakala seorang lagi maut akibat satu letupan ketika tunjuk perasaan diadakan di bandar Port Said dengan 10 orang yang lain turut cedera.
Polis hari ini berkata, punca kejadian masih tidak diketahui, tetapi penunjuk perasan percaya ia adalah bom yang digunakan untuk menyerang pejabat parti Islam di bandar itu.
Ikhwan Muslimin berkata, lapan pejabatnya telah diserang semalam, termasuk satu di Iskandariah.
Sementara itu, pegawai Mesir berkata, lebih 70 orang cedera dalam pertempuran di bandar Iskandariah dengan seorang ditembak mati dan seorang lagi mangsa yang merupakan rakyat AS ditikam di bahagian dada ketika mengambil gambar suasana tunjuk perasaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Andrew Pochter, 21, seorang pelajar dari Chevy Chase, Maryland yang menuntut di Kolej Kenyon, Ohio dan bekerja dengan pertubuhan pendidikan AS, AMIDEAST di Mesir.
Seorang anggota Ikhwan Muslimin turut maut dalam serangan di pejabat parti Ikhwan Muslimin di Zagazig.
Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di sepanjang pantai di Iskandariah dengan berpuluh-puluh orang dilihat membaling batu ke arah pengawal di pejabat Ikhwan Muslimin.
Pejabat itu turut diselongkar dan dokumen-dokumen dibakar oleh golongan muda yang berteriak menyebut slogan antipemimpin Islam.
Kumpulan penentang di Iskandariah yang mengadakan tunjuk perasaan berkata, mereka bimbang Ikhwan Muslimin melakukan revolusi di negara ini dan mengukuhkan kuasa mereka serta menguatkuasakan undang-undang Islam.
Mereka juga tidak berpuas hati dengan tahap ekonomi Mesir ketika ini yang mana harga minyak melambung tinggi akibat masalah bekalan dan pembelian panik.
Kedutaan AS dalam satu kenyataan berkata, negara itu sedang memindahkan kakitangan dan anggota keluarga mereka yang kurang penting dan memberi amaran supaya rakyat negara itu tidak ke Mesir jika tidak mempunyai urusan penting. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130630/lu_01/Mesir-makin-bergolak#ixzz2XqVuQjLx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment