|
KUALA LUMPUR - Kumpulan pemberontak di Selatan Thailand menyatakan bahawa rundingan untuk menamatkan keganasan mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun.
Sejak sedekad lalu, lebih 5,500 orang maut dalam keganasan tersebut. Rundingan antara kerajaan Thailand dan wakil-wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) bermula pada 28 Mac lalu. Namun sehingga kini ia masih gagal menamatkan keganasan yang berlaku hampir setiap hari.
"Rundingan mungkin memakan masa selama dua, tiga tahun atau lebih lama lagi. Jadi, kami berharap semua pihak bersabar. Ini adalah usaha terbaik kami. Perang tidak menyelesaikan apa-apa.
"Isu ini boleh diselesaikan menerusi rundingan walaupun ia akan memakan masa yang lama," kata wakil BRN, Hassan Taib.
Khamis lalu, kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak bersetuju untuk mengurangkan keganasan sepanjang bulan Ramadan.
Walaupun rundingan sudah memasuki pusingan kedua pada Mac, pertumpahan darah masih berlaku. Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana para pemimpin pemberontak mampu mengawal militan yang radikal.
Hassan mengakui bahawa ada pihak yang cuba menggagalkan rundingan tersebut. Tetapi beliau menegaskan golongan itu terdiri daripada individu yang memiliki kepentingan tersendiri. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2WENHQUD1
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment