Tubuh hancur dihempap objek besi 6 tan
Mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat.
Chan Kok Thiun
Chan Kok Thiun
IPOH - Seorang pekerja kilang besi maut dalam keadaan mengerikan selepas tubuhnya hancur dihempap bongkah besi seberat enam tan dipercayai sebuah mesin yang diangkat oleh mangsa menggunakan trak angkat susun dalam kejadian di sebuah kilang di Kanthan Baru, Chemor, pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi dan mangsa, Chan Kok Thiun, 41 dari Taman Chemor Mesra difahamkan sedang melakukan kerja pemindahan objek berkenaan sebelum turun dari trak angkat susun yang dipandunya untuk melihat kedudukan objek berkenaan.

Mangsa juga dikatakan mahir menggunakan trak angkat susun, namun objek berkenaan secara tiba-tiba jatuh dan menghempap badannya.

Dalam kejadian itu, hanya tangan kiri mangsa dapat dilihat selepas tubuhnya dihempap objek terbabit dan rakan-rakan yang berada berhampiran hanya dapat melihat keadaan mangsa yang maut serta merta di tempat kejadian serta tidak mampu membantu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sewaktu kejadian mangsa dipercayai sedang melakukan kerja pemindahan objek besi bersama rakannya.

“Bagaimanapun, objek itu jatuh dan menghempapnya sewaktu mangsa sedang memeriksa kedudukan objek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, tiada unsur jenayah ditemui dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa cedera parah di seluruh bahagian badan akibat impak objek berat yang menimpanya.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah,” katanya