Tuesday, July 2, 2013

Penunjuk perasaan banjiri Dataran Taksim


Ribuan penunjuk perasaan membanjiri Dataran Taksim, di Istanbul bagi menunjukkan bantahan terhadap pasukan keselamatan yang didakwa menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. - AFP
ISTANBUL 30 Jun - Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri Dataran Taksim semalam, sebagai bantahan terhadap pasukan keselamatan negara ini yang didakwa menggunakan kekerasan terhadap peserta demonstrasi antikerajaan.
Pasukan polis antirusuhan mengepung kawasan dataran ketika penunjuk perasaan berhimpun selama hampir dua jam sambil melaungkan slogan 'Kerajaan, letak jawatan!'.
Perhimpunan itu turut mengumumkan kematian seorang penunjuk perasaan pada Jumaat lalu, selepas pasukan tentera melepaskan tembakan bagi menyuraikan sekumpulan penduduk kampung yang membantah tindakan tentera meluaskan pos kawalan.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu berlangsung dengan aman tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Pada awal pagi semalam, golongan wartawan, artis dan penulis menyiarkan iklan pada muka depan beberapa akhbar Turki bagi menggesa agar kerajaan berhenti menggunakan bahasa yang disifatkan sebagai menghasut atau mengapi-apikan rakyat.
Iklan yang berbunyi ' Retorik anda lawan kita (kerajaan) semakin memecahbelahkan rakyat' dan 'Terdapat suasana kekecewaan dan kebencian di sekeliling' itu mendapat sokongan daripada orang ramai apabila lebih 80 orang termasuk penerima Hadiah Nobel Orhan Pamuk menandatangani iklan tersebut.
Sehubungan itu, pihak berkuasa sering menjadikan kesemua golongan tersebut sebagai sasaran apabila berlakunya tunjuk perasaan.
Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan sebelum ini mengecam aktor Turki, Mehmet Ali Alabora yang mengeluarkan kenyataan menyokong tunjuk perasaan menerusi laman Twitternya.
Beliau juga menuduh liputan media asing terhadap situasi di Turki sebagai satu daripada punca kekacauan di negara ini bertambah buruk. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130701/lu_09/Penunjuk-perasaan-banjiri-Dataran-Taksim#ixzz2XqWBs2rG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment