Saturday, August 24, 2013

Bekas tahanan dedah kekejaman Korea Utara


GAMBAR tidak bertarikh yang dirakam secara curi-curi, menunjukkan sekumpulan tahanan menuju ke sebuah lokasi dipercayai untuk dibunuh di Kem 14, berhampiran Hoeryang, Korea Utara, di sempadan China. - AGENSI
SEOUL 23 Ogos - Seramai 30 bekas tahanan daripada sebuah pusat tahanan di Korea Utara yang digelar Kem 14, semalam mendedahkan pengalaman ngeri yang mereka lalui semasa ditahan di situ, termasuk detik-detik seorang ibu dipaksa melemaskan bayinya sendiri.
Pendedahan mereka dibuat semasa inkuiri Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Mereka memberitahu inkuiri itu bahawa hukuman mati dan penyeksaan adalah normal, dan berlaku setiap hari di pusat tahanan tersebut.
Seorang daripada bekas tahanan, Jee Heon-a, 34, mendedahkan bahawa dia melalui detik-detik menakutkan apabila meyaksikan seorang ibu yang terpaksa melemaskan anaknya sendiri.
"Saya sangat gembira melihat seorang bayi yang baru lahir. Namun, secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tapak kaki dan tidak lama selepas itu seorang pengawal keselamatan masuk, memberitahu wanita tersebut supaya melemaskan anaknya di dalam sebuah mangkuk air.
"Wanita itu merayu, meminta dia diseksa sebagai ganti, namun lelaki itu terus memukulnya mengakibatkan ibu itu tidak mempunyai pilihan, selain melemaskan anaknya sehingga mati,'' katanya.
Seorang lagi pembelot, Shin Dong- hyuk yang dilahirkan di Kem 14 berkata, dia dipaksa menyaksikan hukuman terhadap tahanan lain pada usia seawal lima tahun.
Dong-hyuk yang melarikan diri dari kem itu pada 2005 berkata, dia terpaksa menyaksikan hukuman mati ke atas ibu dan abangnya sendiri apabila rancangan mereka untuk melarikan diri dari kem tahanan itu diketahui pengawal penjara.
Jelasnya, dia juga tidak akan melupakan kesengsaraan dialami seorang budak perempuan berusia tujuh tahun yang mati dipukul kerana mencuri segenggam gandum ekoran terlalu lapar.
Pada hari pertama siasatan oleh PBB semalam, ramai daripada bekas tahanan tampil dengan mengemukakan bukti kekejaman pihak berkuasa pusat tahanan itu kepada panel yang dilantik yang seterusnya akan meneliti rekod hak asasi manusia Korea Utara. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130824/lu_04/Bekas-tahanan-dedah-kekejaman-Korea-Utara#ixzz2cqD0LwnR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment