Saturday, August 24, 2013

Pembangkang Tunisia mahu contohi Mesir


Tunis: Pakatan pembangkang Tunisia semalam menolak cadangan kerajaan parti Islam untuk menamatkan krisis politik yang melanda negara itu sejak sebulan lalu.

Taieb Baccouche, anggota Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), kumpulan pembangkang utama berkata, semua rundingan tanpa pembubaran kerajaan hanya membuang masa.


Beliau berkata demikian selepas bermesyuarat dengan Persekutuan Kesatuan Sekerja Tunisia (UGTT) yang bertindak sebagai orang tengah antara kerajaan dengan pembangkang.

Parti pemerintah, Ennahda kelmarin membayangkan buat kali pertama sejak krisis bermula dengan pembunuhan anggota Parlimen pembangkang Mohamed Brahmi bahawa ia bersedia membubarkan kerajaan campuran yang diketuainya.


Bagaimanapun, parti Islam itu menegaskan, dialog kebangsaan membabitkan penyokong dan penentang kerajaan campuran itu perlu diadakan terlebih dulu.


Kumpulan pembangkang akan mengadakan tunjuk perasaan hari ini dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam negara itu, seperti yang berlaku ke atas kerajaan Presiden Mohamed Mursi di Mesir. - AFP

No comments:

Post a Comment