TALISAY - Sekurang-kurangnya 31 orang maut manakala lebih 172 lagi hilang selepas feri yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kapal kontena di perairan bandar ini, dalam wilayah Cebu, tengah Filipina kelmarin.
Beratus-ratus penumpang terjun ke laut dalam kemalangan tersebut dengan selebihnya terperangkap di dalam feri penumpang sepanjang 138 meter itu.
Setakat semalam, pasukan penyelam telah menangguhkan operasi mencari penumpang yang hilang.
Mengulas kemalangan dahsyat itu, Timbalan Ketua Pengawal Pantai, Luis Tuason berkata, kapten feri MV Thomas Aquinas itu mengarahkan feri tersebut dikosongkan apabila ia senget dan mula karam.
Feri itu sedang dalam perjalanan menuju ke pelabuhan di sini apabila ia berlanggar dengan kapal MV Sulpicio Express.
MV Thomas Aquinas karam hanya beberapa minit selepas berlanggar dengan kapal tersebut.
Semasa kejadian, feri itu membawa seramai 752 penumpang termasuk kanak-kanak dan bayi serta 118 kru.
Setakat ini, seramai 629 penumpang dan kru dilapor berjaya diselamatkan.
"Seramai 172 orang masih hilang dengan sebahagian mereka dikhuatiri terperangkap di dalam feri pada kedalaman 33 meter di dasar laut," kata Tuason.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Filipina memberitahu, satu siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas selepas operasi menyelamat berakhir.
Seorang penumpang yang terselamat, Jerwin Agudong berkata, feri MV Thomas Aquinas karam sekitar 30 minit selepas belayar dari bandar Nasipit, dalam wilayah Agusan del Sur di selatan Filipina.
Sementara itu, pemilik kapal kargo berkenaan, Span Asia Carrier Corp. menyatakan semalam bahawa kapal-kapal syarikat berkenaan pernah terlibat dalam empat lagi tragedi yang meragut lebih 5,00 nyawa sejak 1987. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2cHJcsOkc
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment