Sunday, August 18, 2013

Tentera serbu Masjid Al-Fatah


REUTERS
ANGGOTA-ANGGOTA tentera memasuki sebuah bilik di Masjid Al-Fatah yang menjadi tempat penunjuk perasaan berlindung semalam.


KAHERAH - Pasukan keselamatan memasuki sebuah masjid di ibu negara Mesir di sini selepas berbalas tembakan dengan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi semalam.
Siaran langsung televisyen tempatan menunjukkan beberapa kumpulan individu meninggalkan Masjid Al-Fatah dengan dilindungi anggota polis dan tentera.
Laporan televisyen menyatakan, sejumlah penyokong Morsi bersembunyi di beberapa menara masjid itu dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan yang berkawal di kawasan sekitarnya.
Anggota polis dan tentera kemudian membalas tembakan mereka.
Pasukan keselamatan kemudian menawan menara-menara tersebut.
Setakat ini, belum ada laporan berhubung kematian dan kecederaan dalam insiden itu.
Terdahulu, beberapa anggota tentera dilihat memasuki masjid berkenaan yang menjadi tempat perlindungan beberapa ratus penyokong Morsi.
Saluran televisyen tempatan, Egyptian ONTV Live melaporkan anggota-anggota tentera itu cuba berunding untuk memujuk penunjuk perasaan itu supaya beredar.
Seorang penunjuk perasaan di dalam Masjid Al-Fatah memberitahu agensi berita AFP melalui telefon bahawa mereka menuntut agar tidak ditangkap atau diserang oleh kumpulan penyokong kerajaan sementara yang berhimpun di luar masjid.
Perkembangan itu berlaku setelah lebih 100 nyawa melayang dalam pertumpahan darah antara penunjuk perasaan yang setia kepada Morsi dengan pasukan keselamatan kelmarin,.
Situasi yang semakin buruk itu menjadikan Mesir di ambang huru-hara.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menangkap lebih 1,000 pemimpin dan ahli pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin semalam.
Pergerakan Islam itu merupakan penyokong kuat Morsi.
"Seramai 1,004 "elemen" Ikhwanul Muslimin telah ditangkap kerana melakukan keganasan dalam pertempuran yang mengorbankan 700 orang sejak Rabu lalu," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.
Ikhwanul Muslimin yang menguasai Mesir selama setahun sehingga Morsi digulingkan oleh tentera turut menggesa penyokongnya kembali mengadakan protes jalanan.
Demonstrasi tersebut bagi mengecam rampasan kuasa tentera dan mengutuk kekejaman pasukan keselamatan dalam menangani kebangkitan rakyat.
Terbaharu, Perdana Menteri Mesir, Hazem El-Beblawi mengusulkan supaya pergerakan Ikhwanul Muslimin dibubarkan secara rasmi.
"Cadangan tersebut sedang dikaji," kata Menteri Hal Ehwal Masyarakat, Sherif Shawky. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2cHJHmvGp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment