Friday, August 16, 2013

Penyokong Ikhwanul Muslimin serang balas


KEADAAN masjid Rabaa al-Adawiya yang musnah terbakar selepas pihak tentera mengambil tindakan untuk membersihkan pusat perhimpunan dan menyuraikan penunjuk perasaan yang telah menguasai kawasan tersebut selama berminggu-minggu.- AP


KAHERAH - Keganasan baharu tercetus di Mesir kelmarin apabila penyokong Ikhwanul Muslimin melancarkan serangan balas, sehari selepas tindakan ganas pihak tentera mengosongkan lokasi perhimpunan di dataran masjid Rabaa Al-Adawiya dan beberapa lokasi lain yang meragut sekurang-kurangnya 525 nyawa dan mengundang kritikan antarabangsa.
Mereka yang begitu marah dilaporkan menyerang pondok kawalan di Sinai dan bandar Assiut, menyebabkan dua anggota polis maut.
Penunjuk perasaan turut membakar sebuah pejabat kerajaan di Giza. Di Iskandariah, beratus-ratus penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi menutup jalan sambil berarak.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad menegaskan, kemarahan kumpulan yang mempunyai jutaan ahli itu sudah di luar kawalan.
"Selepas serangan, tangkapan dan pembunuhan yang kami hadapi, emosi sudah tidak dapat dikawal lagi," katanya.
Ikhwanul Muslimin menggesa pengikutnya supaya berarak bermula dari masjid Al-Iman di Kaherah. Majlis pengebumian mangsa yang terbunuh juga dilihat mampu mencetuskan keganasan baharu untuk beberapa hari akan datang.
Dalam kejadian kelmarin, para penunjuk perasaan bertempur dengan anggota polis dan tentera yang menggunakan jentolak, gas pemedih mata serta peluru hidup untuk mengosongkan lokasi perhimpunan penunjuk perasaan di sini.
Pertempuran kemudian pantas merebak ke Iskandariah dan bandar-bandar lain di seluruh Mesir.
El-Haddad berikrar bahawa demonstrasi akan diteruskan.
"Kami akan meneruskan perjuangan sehingga rampasan kuasa tentera ini dapat ditumbangkan," katanya lagi.
Protes bermula apabila para penunjuk perasaan menuntut kuasa Morsi dikembalikan selepas beliau digulingkan pada 3 Julai lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2c5bmAKnq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment