Tuesday, August 27, 2013

Sokong Rizieq jadi presiden


Jakarta: Majlis Ulama Indonesia menyuarakan sokongan terhadap pencalonan Ketua Front Pembela Islam (FPI) Habib Rizieq untuk menjadi calon dalam pilihan raya presiden negara itu tahun depan.

Pengerusi MUI, Cholil Ridwan, secara jelas menyuarakan sokongannya itu ketika berucap merasmikan persidangan kebangsaan ketiga FPI di Jakarta, kelmarin.


“Tokoh paling layak untuk menjadi Presiden Indonesia pada 2014-2019 ialah Habib Rizieq,” kata Cholil seperti dipetik oleh Tempo.co.

Dalam ucapannya itu, Cholil turut menyatakan kepercayaannya bahawa undang-undang Islam hanya boleh direalisasikan menerusi pemimpin negara dan yakin Rizieq mempunyai pengaruh yang besar di seluruh Indonesia.


“Insya Allah, jika Rizieq berminat untuk dicalonkan, setiap umat Islam di Indonesia akan menyokongnya,” kata Cholil.


Beliau bagaimanapun mengakui, FPI perlu menjalani penyusunan semula secara besar-besaran untuk membolehkannya menjadi badan politik bagi menyokong pencalonan Rizieq.

Tempo.co juga melaporkan, Setiausaha Agung Forum Islam Moh Al Khotot turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan pemimpin FPI itu dengan berkata, populariti Rizieq mengatasi nama lain yang berpotensi untuk dicalonkan.


Menurutnya, jika Rizieq bersetuju, beliau sangat sesuai untuk digandingkan dengan Menteri Hal Ehwal Agama yang ada sekarang, Suryadharma Ali dari Parti Persatuan pembangunan. “Saya pasti jika namanya tersenarai, popularitinya akan meningkat 30 peratus, lebih-lebih lagi jika digandingkan dengan Suryadharma Ali,” kata Al Khotot. - Agensi

No comments:

Post a Comment