Tuesday, September 10, 2013

8 terbunuh pemberontak MNLF serang Zamboanga



PASUKAN keselamatan bersiap sedia untuk menggempur anggota MNLF yang menjadikan penduduk kampung sebagai tebusan di bandar Zamboanga, Filipina semalam.


MANILA - Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh selepas kira-kira 300 pemberontak Islam bertempur dengan tentera Filipina di bandar Zamboanga, selatan negara ini semalam.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, pertempuran meletus setelah tentera menyekat kemaraan gerila dipercayai anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menuju ke pusat bandar Zamboanga.
Menurut Zagala, gerila MNLF itu kemudian bersembunyi di sebuah kawasan setinggan penduduk Islam di Rio Hondo dan mereka tidak mahu berunding dengan pasukan keselamatan.
Datuk Bandar Zamboan- ga, Maria Isabelle Climaco menyatakan bahawa pertempuran itu mengorbankan seorang anggota pasukan khas Tentera Laut Filipina, seorang anggota polis dan empat orang awam.
Seramai 24 orang awam, sejumlah pemberontak dan anggota tentera turut cedera.
Pihak tentera memberitahu, sekurang-kurangnya dua pemberontak terbunuh.
Sumber tentera dan polis berkata, kumpulan pemberontak menahan 20 penduduk di sebuah kampung dekat Rio Hondo sebagai tebusan.
Kumpulan lelaki bersenjata itu dilaporkan menuntut supaya bendera mereka dikibarkan di Dewan Bandaraya di wilayah berkenaan.
"Kami enggan membenarkan satu lagi pasukan bersenjata berarak di sekitar bandar-bandar kita. Itu tidak boleh diterima," kata Zagala.
Keganasan di bandar pelabuhan yang mempunyai hampir sejuta penduduk bermula pada malam kelmarin apabila polis menahan lima pemberontak MN- LF yang memakai seragam tentera serta membawa senjata api.
Perkembangan itu disusuli ketibaan berpuluh-puluh pemberontak bersenjata yang menaiki sebuah bot besar dan lapan bot kecil di perairan Rio Hondo hingga berlaku pertempuran yang meragut nyawa seorang anggota keselamatan.
Pertempuran itu memaksa beratus-ratus penduduk Rio Hondo lari menyelamatkan diri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2eRGdQ45F 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment