Friday, September 20, 2013

Anggota MNLF mula serah diri



Sebanyak 15 anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menyerah diri, dipertontonkan kepada media di sebuah balai polis di bandar Zamboanga, selatan Filipina, semalam. - Reuters
MANILA 19 Sept. - Sebanyak 15 anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) hari ini menyerah diri kepada pihak berkuasa dan lapan lagi ditembak mati pada hari ke-11 serangan kumpulan bersenjata itu ke atas Zamboanga yang menyaksikan kira-kira 114 orang maut.
Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Domingo Tutaan berkata, anggota-anggota MNLF itu menyerah diri kepada askar dan polis yang berjaya mengambil alih kawasan-kawasan di Zamboanga.
"Mereka turut menyerahkan lima laras senjata api. Kami percaya ketika ini masih terdapat kira-kira 70 anggota MNLF bersembunyi di kawasan terbabit dengan sekurang-kurangnya 20 tebusan,'' katanya.
Seorang pegawai tentera berpangkat leftenan turut terbunuh dalam pertempuran hari ini sebelum anggota kumpulan bersenjata itu menyerah diri.
Sejak 11 hari lalu, sebanyak 94 anggota MNLF, tujuh orang awam dan tiga pegawai polis turut dilaporkan terbunuh dalam siri pertempuran di Zamboanga.
Kehidupan di bandar itu juga hampir pulih kepada sediakala apabila perkhidmatan penerbangan komersial disambung semula hari ini selepas digantung sejak pertempuran bermula pada 9 September lalu.
Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas berkata, keadaan beransur-ansur pulih di bandar ini.
Dalam pada itu, ketua MNLF, Nur Misuari, 71, sebelum ini pernah berikrar bahawa akan membawa selatan negara itu keluar daripada Filipina, tindakan yang dilihat menjadi punca kumpulan bersenjata itu menyerang Zamboanga.
"Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada Filipina lagi,'' katanya kepada penyokongnya di Jolo pada 12 Ogos lalu.
Beliau turut mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden Bangsamoro Republik dan meminta penduduk menentang kerajaan Filipina. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130920/lu_04/Anggota-MNLF-mula-serah-diri#ixzz2fP4Buluy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment