Wednesday, September 25, 2013

Pemberontak bebas tahanan


Manila: Kumpulan pemberontak yang menentang rundingan damai dengan kerajaan Filipina semalam membebaskan sembilan guru dan empat pegawai kampung.

Mereka berbuat demikian sehari selepas menawan beberapa orang awam ketika melakukan serangan terhadap sebuah bandar di selatan negara itu yang menyebabkan 10 orang mati, termasuk seorang mangsa yang dipenggal.


Keganasan baru itu berlaku ketika tentera kerajaan masih gagal menamatkan krisis bersenjata dengan puluhan anggota kumpulan pemberontak dari Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menawan lebih 100 tebusan dan menduduki beberapa kawasan di sekitar bandar Zamboanga pada 9 September lalu.

Kira-kira 40 pemberontak Moro yang menawan kira-kira 20 tebusan masih bersembunyi di Zamboanga, kata jurucakap tentera, Ramon Zagala.


Setakat ini tidak diketahui sama ada kedua-dua serangan itu berkait. Tetapi pemimpin dua kumpulan itu dikatakan pernah berunding sekurang-kurangnya sekali dan masing-masing menentang rundingan damai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina.


Dalam serangan terbaru Isnin lalu, anggota Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) menyerang sebuah pangkalan sukarelawan kerajaan tidak bersenjata di bandar Midsayap di wilayah Cotabato Utara dan menawan lebih 12 tebusan.

Pertempuran meletus apabila tentera menghampiri kedudukan pemberontak itu.


Empat tentera dan empat pemberontak terbunuh dalam kejadian itu.

Sementara itu, tentera menemui dua mayat orang awam semalam, seorang daripada mereka dipancung dan seorang lagi ditembak di kepala.


Beberapa tebusan berjaya melarikan diri atau dibebaskan tentera sementara baki sembilan guru dan empat pegawai dibebaskan pada jam 4.45 pagi (waktu tempatan) semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

No comments:

Post a Comment