Tuesday, September 24, 2013

Timor Leste haram silat


2013/09/24
Dili: Polis Timor Leste tidak lagi akan bertolak ansur dengan penduduk yang terus terbabit dalam seni mempertahankan diri selepas kerajaan mengharamkan semua kelab pencak silat.

Pengharaman itu diumumkan selepas anggota kelab pencak silat terbabit dalam permusuhan hingga mencetuskan pertumpahan darah, kata pegawai semalam.
Sekurang-kurangnya 12 warga Timor Leste terbunuh dan lebih 200 cedera sejak dua tahun yang lalu kerana pergaduhan antara anggota kelab berbeza, kata Ketua Penyiasat Polis Nasional, Armando Monteiro.

Malah, pergaduhan membawa dua kematian berlaku di Indonesia, manakala kematian dan kecederaan lain berlaku di England dan Ireland.

Beliau berkata, bilangan mangsa mungkin lebih tinggi kerana ramai takut untuk melaporkan aktiviti kelab atau mendapatkan rawatan di hospital.

Tindakan tegas

“Mana-mana ahli kelab seni mempertahankan diri yang melanggar perintah kerajaan akan menghadapi tindakan undang-undang.
“Kami mengamalkan toleransi sifar untuk aktiviti seni mempertahankan diri di sini,” kata Monteiro.

Sekolah dan kelab seni mempertahankan diri sudah lama tumbuh di Timor Leste dengan ramai pelajar menentang askar ketika penjajahan Indonesia.

Mereka juga menjadi ahli sulit aktif dalam menyokong gerila dan ada yang memainkan peranan penting ke arah kemerdekaan pada 2002.

Malangnya, pelajar seni mempertahankan diri saling bermusuh dan mula membunuh lawan seperti yang berlaku pada 2006 ketika krisis politik ganas melanda hingga berpuluh-puluh maut dan berpuluh-puluh ribu menjadi pelarian.

Dalam banyak kampung dipulau itu, pelajar mula belajar pencak silat pada usia 13 tahun. Ia kini diharamkan bersama dengan karate, Kung-Fu, taekwondo dan judo.

Perdana Menteri, Xanana Gusmao mengeluarkan resolusi mengharamkan kelab seni mempertahankan diri, dua bulan lalu.
AP 

No comments:

Post a Comment