PARIS 22 Okt. - Perancis, hari ini mengarahkan Amerika Syarikat (AS) berhenti mengintip panggilan telefon rakyat Perancis, namun memberi isyarat mahu mengurangkan kesan perbalahan berhubung isu itu.
Ketika menghadiri sarapan pagi dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius meminta Kerry memberi penjelasan berhubung pendedahan program perisikan oleh Washington tersebut.
''Beliau (Fabius) berulang kali mendesak diberikan penerangan amalan perisikan AS yang tidak boleh diterima antara rakan kerjasama dan perbuatan itu perlu dihentikan,'' kata jurucakap Menteri Luar Perancis itu selepas pertemuan tersebut.
Walaupun Kementerian Luar Perancis menggunakan nada keras ketika mengutarakan perkara tersebut, namun terdapat tanda- tanda Paris mahu mengurangkan perbalahan ekoran pendedahan akhbar Le Monde bahawa Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS memantau lebih 70 juta panggilan telefon di Perancis antara Disember 10 dan 8 Januari lalu.
Ketika ditanya apakah Perancis menimbang untuk mengambil tindakan terhadap AS berhubung pendedahan itu, jurucakap kerajaan, Najat Vallaud-Belkacem menolak mendedahkan perkara tersebut.
''Perkara itu adalah antara Fabius untuk menentukan tindakan yang akan diambil tetapi saya tidak rasa ada keperluan untuk memburukkan keadaan.
''Kita perlu ada hubungan hormat-menghormati antara rakan kerjasama dan sekutu. Keyakinan kita berhubung perkara ini semakin berkurangan, namun hubungan kita selama ini sangat rapat,'' katanya kepada stesen televisyen, France 2.
Presiden Perancis, Francois Hollande, malam tadi berkata, 'tindakan NSA itu tidak boleh diterima antara rakan dan sekutu', ketika menghubungi rakan sejawatannya dari AS, Barack Obama.
Pegawai AS mengakui Perancis mempunyai asas perundangan untuk mengemukakan aduan, namun menyifatkan laporan berhubung program perisikan NSA itu sebagai 'diputarbelitkan'. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_07/AS-diarah-berhenti-intip-rakyat-Perancis#ixzz2iXPx7Wpv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment