Wednesday, October 23, 2013

Gesa AS dedah kempen dron


Islamabad: Amerika Syarikat perlu menamatkan maklumat sulit yang membabitkan kempen dronnya di Pakistan dan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan tidak sah ke pengadilan.

Amnesty International semalam berkata, tiada pengadilan dibuat mengenai dua serangan dron di barat laut Pakistan tahun lalu, satu daripadanya membunuh nenek berusia 68 tahun ketika mangsa memetik sayur-sayuran.
Gesaan Amnesty itu dibuat menjelang rundingan Rumah Putih antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif, di mana isu serangan dron dijangka dibincangkan.

AS menjalankan hampir 400 serangan dron di daerah suku kaum di Pakistan dekat sempadan Afghanistan sejak 2004, membunuh antara 2,500 hingga 3,600 orang, menurut Biro Siasatan Kewartawanan berpangkalan di London.


Washington berkata, ia adalah kaedah penting dan berkesan dalam perjuangan menentang militan seperti Taliban dan al-Qaeda yang mempunyai kubu kuat di kawasan suku kaum itu.


Namun, pengkritik berkata, ratusan orang awam yang tidak berdosa turut maut dalam serangan terbabit.

Amnesty berkata, tanpa bukti kukuh, sukar untuk menguji dakwaan AS bahawa serangan berkenaan berdasarkan perisikan yang boleh dipercayai dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Maklumat sulit mengenai program dron memberikan pentadbiran AS, lesen untuk membunuh menjangkaui kuasa mahkamah atau syarat asas undang-undang antarabangsa,” kata penyelidik kumpulan hak asasi manusia itu di Pakistan, Mustafa Qadri.

Obama mempertahankan tindakan melancarkan serangan dron pada Mei lalu dengan menganggapnya sah dan terbaik bagi menangani keganasan. - AFP

No comments:

Post a Comment