Sunday, October 6, 2013

Impak penutupan kerajaan AS



SEKUMPULAN penjawat awam menyertai tunjuk perasaan untuk menuntut Kongres menamatkan penutupan kerajaan AS di luar bangunan U.S. Capitol di Washington, Amerika Syarikat kelmarin.


BALI - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry semalam memberi amaran kepada Kongres supaya berfikir panjang mengenai impak negatif yang akan timbul berikutan penutupan operasi pentadbiran negara itu sejak lima hari lalu.
Pertikaian antara Parti Demokrat dan Republikan itu disifatkan beliau sebagai 'cuai' dan boleh menjejaskan kreadibiliti AS di mata dunia jika ia tidak diselesaikan segera.
Malah, ia seakan-akan memberi mesej kepada dunia bahawa AS tidak mampu menyelesaikan masalahnya sendiri.
"Sekiranya krisis ini berterusan atau berulang, orang ramai akan mula mempersoalkan kemampuan AS untuk mengendalikan kerajaannya sendiri," kata Kerry dalam satu mesyuarat sewaktu Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di sini.
Kerry bagaimanapun menegaskan bahawa imej AS masih belum tercalar di mata pemimpin dunia dan yakin isu itu dapat diselesaikan tidak lama lagi.
"AS tetap menjadi kuasa paling besar di dunia dari segi kapasiti ketenteraan dan ekonomi," tambah Kerry.
Sebelum ini, Presiden AS, Barack Obama terpaksa membatalkan lawatannya ke beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei dan Filipina. Obama juga terlepas peluang menghadiri mesyuarat APEC.
Kerry yang menggantikan tempat Obama untuk lawatan ke negara ASEAN menyatakan, beliau percaya tindakan Republikan menghalang perbelanjaan kerajaan di Kongres sebagai satu langkah berbahaya.
Biarpun begitu, Kerry menegaskan, isu di Washington tidak akan menjejaskan komitmen AS terhadap rakan-rakannya di Asia dari aspek perdagangan dan pelaburan di rantau terbabit.
Penutupan kerajaan AS berlaku apabila Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan enggan meluluskan wang untuk operasi pentadbiran kecuali undang-undang penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare ditangguhkan atau tidak dibiayai.
Obama dikatakan enggan untuk berunding dengan Republikan mengenai isu bajet sehinggalah mereka meluluskan rang undang-undang sementara untuk membuka kembali kerajaan AS. Selain bersetuju menaikkan had pinjaman berkanun kepada AS$16.7 trilion (RM53.1 trilion)
"Undi dan hentikan sandiwara ini. Tamatkan penutupan kerajaan ini sekarang," tegas Obama.
Penutupan kerajaan memberi impak besar. Dari segi polisi dana luar, ia menangguhkan bantuan keselamatan kepada Israel dan menjejaskan pemantauan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas beberapa buah negara seperti Iran.
Penutupan kerajaan AS turut memberi kesan kepada pelancong yang ingin mengunjungi Institusi Smithsonian yang terdiri daripada 19 buah muzium, galeri-galeri dan Zoo Nasional. Sementara taman-taman awam termasuklah Statue of Liberty, Yosemite dan Alcatraz juga terpaksa ditutup.
Krisis itu menyebabkan ratusan ribu penjawat awam di beberapa jabatan seperti pertahanan, perdagangan, tenaga dan pengangkutan diarahkan untuk bercuti tanpa gaji. Justeru, penyelidikan saintifik juga terpaksa ditangguhkan.
Kali terakhir AS menutup operasi kerajaannya adalah pada 17 tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gtSBFhou 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment