NUSA DUA, Indonesia 5 Okt. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, hari ini memberi amaran krisis politik yang berlarutan di Washington boleh melemahkan peranan AS pada peringkat global, ketika masalah kerajaan AS lumpuh, masuk hari kelima.
Kerry berkata, krisis antara Parti Demokrat dan Parti Republikan yang menyebabkan kerajaan AS lumpuh, memberi mesej negatif kepada dunia tentang masalah AS 'tidak dapat bekerjasama dalam satu negara'.
Tegasnya, peranan AS masih belum lemah di mata-mata pemimpin dunia dan berharap penyelesaian terhadap kemelut tersebut akan dicapai tidak lama lagi.
"Tetapi jika ia berlarutan dan berulang lagi, masyarakat dunia akan mempersoalkan keupayaan dan peranan AS sebagai kuasa besar.
"Namun, perkara itu mungkin tidak berlaku dan saya tidak fikir ia akan berlaku," katanya ketika ditemui pada forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Bali, Indonesia.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Kongres AS dilihat tidak mahu menyelesaikan kemelut politik, sehingga menyebabkan kebanyakan jabatan kerajaan ditutup dan beratus ribu penjawat awam diberikan cuti tanpa gaji.
Dalam perkembangan lain, krisis kerajaan AS yang lumpuh turut menyebabkan pusingan kedua rundingan antara pegawai tertinggi Kesatuan Eropah (EU) dan Washington untuk memeterai satu perjanjian perdagangan terbesar dunia, terpaksa dibatalkan.
Perbincangan tersebut dijadual bermula pada Isnin ini, namun Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Karel De Gucht berkata, beliau dimaklumkan oleh Wakil Perdagangan AS, Michael Froman tentang Washington tidak dapat menghantar wakilnya.
"Saya berasa kesal tentang pembatalan perbincangan tersebut, namun saya berharap EU dan AS dapat terus komited untuk memastikan proses perjanjian berkenaan berjaya," katanya. - AFP/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131006/lu_01/Krisis-politik-lemahkan-peranan-AS#ixzz2gtUFtfsq
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment