Tuesday, October 8, 2013

Krisis pentadbiran AS masuk minggu kedua


WASHINGTON 7 Okt. - Krisis politik yang melumpuhkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) memasuki minggu kedua dan kini menunjukkan tanda-tanda negara ini akan terjerumus dalam bencana hutang ketika Speaker Dewan Perwakilan dari Parti Republikan, John Boehner menolak sebarang pendekatan meluluskan kuasa pinjaman tanpa sebarang kompromi daripada Presiden, Barack Obama.
AS mempunyai 10 hari lagi untuk menyelesaikan krisis itu sebelum ancaman bencana hutang menjadi kenyataan.
Setiausaha Perbendaharaan, Jack Lew memberi amaran Kongres kini sedang 'bermain dengan api'.
Beliau merayu Kongres meluluskan rang undang-undang untuk membuka semula operasi sebahagian agensi kerajaan dan meningkatkan had hutang negara itu kepada AS$16.7 trilion (RM53.25 trilion).
"Pada 17 Oktober ini, kita akan hilang kemampuan untuk meminjam dan Kongres kini bermain dengan api,'' katanya dalam satu temu bual dengan sebuah televisyen semalam.
Lew mengulangi, Obama juga tidak berhasrat mengaitkan kedua- dua rang undang-undang itu kepada desakan Parti Republikan supaya mengubah cadangan rang undang-undang penjagaan kesihatan dan pemotongan perbelanjaan.
Boehner pula menegaskan, Obama perlu mengadakan rundingan jika Presiden AS itu mahu menamatkan krisis berkenaan dan mengelak bencana hutang yang boleh mencetuskan krisis kewangan seperti pada 2008.
Beliau berkata, Dewan Perwakilan tidak mempunyai undi cukup untuk meluluskan had hutang berkenaan dan Obama mengambil risiko mencetuskan bencana hutang dengan tidak melakukan dialog dengan mereka.
Boehner turut berkata, beliau tidak mempunyai undi yang cukup untuk meluluskan satu resolusi lanjutan, merujuk kepada rang undang- undang perbelanjaan tanpa sebarang syarat yang akan membolehkan kerajaan kembali beroperasi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131008/lu_04/Krisis-pentadbiran-AS-masuk-minggu-kedua#ixzz2h59UsrxF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment