Friday, November 22, 2013

Hamid tak percaya AS

Kabul: Presiden Afghanistan Hamid Karzai mengakui dia menyokong perjanjian keselamatan penting dengan AS tetapi tetap mencurigai negara besar dunia itu.
Bercakap kepada perhimpunan untuk pemimpin puak tempatan dikenali sebagai Loya Jirga Hamid berkata, dia tidak begitu mempercayai AS tetapi pada masa sama Washington juga mencurigainya.

“Sepanjang tempoh 10 tahun lalu saya berseteru dengan AS dan mereka pula menjalankan propaganda memburuk-burukkan saya,” katanya.
Loya Jirga dianggotai kira-kira 2,500 pemimpin tempatan dan puak bersidang sehari selepas Hamid dan Washington mencapai persetujuan memperhalusi kehadiran tentera AS selepas 2014.

Semua tentera asing dijadual berundur sepenuhnya pada tahun depan dan keselamatan Afghanistan bakal dikawal polis dan tentera negara itu sendiri. Loya Jirga bersidang selama lima hari untuk membahaskan rang undang-undang dan memutuskan sama ada tentera AS akan kekal atau perlu meninggalkan negara berkenaan sepenuhnya.

Selama hampir setahun Washington dan Kabul bergelut untuk memuktamadkan Perjanjian Keselamatan Dua Hala yang membantu menentukan jumlah tentera AS serta pangkalan mereka yang bakal dikekalkan selepas 2014. Sementara itu, Taliban pula mengutuk sidang Loya Jirga sebagai sandiwara semata-mata.
Foto
HAMID mengakui dia tidak mempercayai AS tetapi terpaksa bergantung kepada negara itu atas faktor keselamatan.
Dalam pertemuan terakhir Loya Jirga pada 2011, militan melancarkan dua roket ke tempat persidangan tetapi gagal mengenai mana-mana delegasi. Menurut Hamid, jika draf perjanjian keselamatan dengan AS diluluskan parlimen pun, ia perlu ditandatangani selepas pilihan raya umum yang dijadual akan diadakan pada 5 April tahun hadapan. “Jika anda menerima draf ini dan parlimen meluluskannya, ia perlu ditandatangani selepas pilihan raya selesai, dilakukan sebaik mungkin serta bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan. - Reuters

No comments:

Post a Comment