Friday, November 22, 2013

Wanita Somalia menderita hidap 'kaki gajah'


Kaki Sadia Abdinur dijangkiti parasit sejak 2006, sebelum disahkan menghidap penyakit untut. - AGENSI
MOGADISHU 21 Nov. - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya, begitulah nasib seorang wanita Somalia selepas kakinya membesar seperti ‘kaki gajah’ hingga mencapai berat 31.7 kilogram.
Semua itu bermula selepas kaki Sadia Abdinur, 35, dijangkiti parasit sejak 2006, dan dia disahkan menghidap penyakit untut yang menjadikannya tidak mampu bergerak, apatah lagi memberi makan anak-anaknya.
Lebih memburukkan keadaan, ibu kepada dua orang anak itu dipulaukan rakan dan jiran-jirannya yang percaya wanita tersebut ‘dirasuk’ kuasa jahat.
Kini, anak Sadia, Ayan, 9, dan Ayub, 7, terpaksa mengemis di jalanan bagi menyara keluarga mereka.
Kanak-kanak itu akan memeluk dan mengucapkan selamat tinggal kepada Sadia pada setiap malam kerana percaya ibu merela akan meninggal dunia keesokan harinya.
‘‘Tolong selamatkan nyawa saya, Saya telah dipinggirkan dan dunia tidak mempedulikan nasib saya ini,’’ kata Sadia.
Namun, nasib Sadia kini bakal berubah selepas seorang pakar bedah Britain menawarkan untuk melakukan pembedahan ke atasnya secara percuma.
Selain itu, sebuah badan kebajikan sedang berusaha mewujudkan dana bagi membantu menerbangkan Sadia ke United Kingdom untuk berjumpa pakar saraf, Prof. Nigel Standfield supaya dia dapat melakukan pembedahan yang dijangka memakan masa selama 10 jam.
Sebelum ini, pakar bedah di Nairobi, Kenya enggan melakukan pembedahan ke atas Sadia kerena mereka tidak mempunyai kepakaran, mahupun kemudahan pembedahan.
Wanita itu dilaporkan akan mati lebih awal jika tidak menjalani pembedahan segera. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_07/Wanita-Somalia-menderita-hidap-kaki-gajah#ixzz2lJfaAbDA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment