Wednesday, November 27, 2013

Indonesia tingkat tekanan


AHLI Pemuda Pancasila membakar gambar Perdana Menteri Australia Tony Abott ketika menyertai tunjuk perasaan di pejabat Kedutaan Australia, di Jakarta, semalam. - AFP
JAKARTA 26 Nov. - Indonesia hari ini meningkatkan tekanan kepada Australia berhubung hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, selepas Menteri Perdagangan negara ini membayangkan bahawa negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mungkin melihat 'sumber' lain bagi import makanannya.
''Terdapat tempat-tempat lain yang saya fikirkan boleh membantu kita dengan aspirasi keselamatan kita. Kita juga melihat kemungkinan-kemungkinan itu,'' kata Gita Wirjawan kepada media antarabangsa di sini.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada minggu lalu mengarahkan supaya kerjasama antara polis dan tentera antara kedua-dua negara dalam isu pencari suaka politik yang menggunakan wilayah Indonesia untuk pergi ke Australia digantung, berikutan dakwaan Canberra mengintip perbualan telefon pemimpin Indonesia.
Indonesia merupakan pengimport utama produk gandum, lembu hidup, daging lembu dan gula mentah dari Australia, manakala Australia merupakan negara pengeksport ke-10 terbesar Indonesia.
Buat masa ini, undang-undang Indonesia hanya membenarkan lembu diimport dari Australia dan New Zealand kerana kebimbangan tentang penyakit kuku dan mulut.
Ketika ditanya sama ada beliau bimbang tentang daging lembu yang diimport dari negara lain, Gita Wirjawan berkata, Malaysia mengimport banyak daging lembu dari India yang diambil dari zon bebas penyakit kuku dan mulut dan penyakit lain.
''Bagaimanapun, kerajaan akan memberi perhatian kepada keperluan untuk menstabilkan harga produk itu,'' tambahnya.
Sementara itu, kerjasama latihan antara polis Indonesia dan Polis Persekutuan Australia (AFP) tetap akan diteruskan walaupun kerjasama dalam beberapa bidang lain ditangguhkan.
''Saya telah menggantung kerjasama dalam pemerdagangan manusia, namun program latihan polis tetap akan diteruskan,'' kata Ketua Polis Indonesia, Sutarman. - REUTERS/BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131127/lu_03/Indonesia-tingkat-tekanan#ixzz2lowdVvfg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment