|
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam berdepan dengan peperangan politik ketika perbahasan tentang undi tidak percaya ke atas kepimpinannya dibahaskan di Parlimen semalam.
Undi tidak percaya itu dikemukakan Parti Demokrat yang menjadi pembangkang di dalam Parlimen sebagai usaha untuk memastikan Yingluck tersingkir sebagai Perdana Menteri.
Parti Demokrat menuduh pentadbiran Yingluck melakukan rasuah dan mendakwa beliau menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra.
Thaksin kini hidup dalam buangan selepas dia disingkirkan daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri menerusi satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.
Bagaimanapun, undi tidak percaya itu tidak akan mampu untuk menyingkirkan Yingluck kerana parti pimpinannya mempunyai anggota majoriti di Dewan Perwakilan.
Yingluck mengetuai parti Pheu Thai.
"Jika kita boleh berbincang, saya percaya, negara ini akan kembali menjadi normal," kata Yingluck.
Perdana Menteri itu berikrar tidak akan menggunakan keganasan bagi menghentikan tunjuk perasaan jalanan.
Bagaimanapun, beliau melaksanakan undang-undang khas lewat kelmarin bagi mengawal bandar raya ini.
Akta Keselamatan Dalam Negeri telah pun dilaksanakan di tiga buah daerah di Bangkok sejak Ogos lalu.
Melalui akta tersebut, para pegawai boleh melaksanakan perintah berkurung, membuat sekatan jalan dan mengehadkan pergerakan penduduk.
Kempen anti-Yingluck bermula pada bulan lalu selepas parti pemerintah cuba untuk melaksanakan satu rang undang-undang yang didakwa pihak pembangkang sebagai usaha untuk memberi pengampunan kepada Thaksin.
Thaksin akan dihukum penjara dua tahun kerana kesalahan penyalahgunaan kuasa jika beliau kembali ke Thailand.
Bekas Perdana Menteri itu digulingkan tentera selepas tunjuk perasaan jalanan besar-besaran dilancarkan penduduk dengan mendakwanya melakukan rasuah dan tidak menghormati institusi beraja.
Kira-kira 90 orang terbunuh apabila kumpulan Thaksin menawan beberapa buah kawasan di Bangkok sebelum kerajaan menggunakan tentera untuk menamatkan tunjuk perasaan tersebut.
Para penunjuk perasaan mengancam untuk meluaskan kawasan perhimpunan tunjuk perasaan ke beberapa pejabat kerajaan di sini.
Polis telah mengeluarkan waran tangkap untuk pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban yang juga bekas wakil rakyat pembangkang.
Beliau dan anggota penyokongnya menyerbu bangunan Kementerian Kewangan dua hari lalu.
Polis berkata, Suthep tidak akan ditangkap dengan tujaun untuk mengelak berlakunya pertempuran dengan para penunjuk perasaan.
Seorang jurucakap penunjuk perasaan itu menyatakan, mereka tidak akan menawan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Bangkok seperti yang dilakukan para aktivis Thaksin pada tahun 2008 yang menyebabkan jadual penerbangan ditangguhkan selama seminggu.
Namun, keadaan menjadi tegang di sini apabila kumpulan Sunthep itu menawan bangunan Kementerian Kewangan dan menjadikannya sebagai markas operasi penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan turut mengepung Kementerian Dalam Negeri dan memotong bekalan elektrik serta air bagi meminta orang yang berada di dalam bangunan berkenaan keluar.
Beberapa kakitangan keselamatan berada di dalam bangunan tersebut dengan mengunci pintu.
Para penunjuk perasaan itu mahu Yingluck yang memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2011 supaya meletakkan jawatan ekoran terdapat dakwaan bahawa Taksin yang sebenarnya menguasai kerajaannya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2lnrlL6Pu
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment