Saturday, November 9, 2013

Komander dalangi serangan Malala ketuai militan Taliban di Pakistan


DERA ISMAIL KHAN (Pakistan) 8 Nov. - Militan Taliban Pakistan hari ini mengumumkan bahawa mereka sedang mengatur gelombang serangan terhadap pemimpin, anggota keselamatan dan kepentingan kerajaan negara ini, selepas melantik Mullah Fazlullah (gambar) sebagai pemimpin baharu mereka.
Pemilihan Mullah, komander Taliban yang mengarahkan serangan ke atas gadis yang memperjuangkan pendidikan, Malala Yousafzai, tahun lalu dibuat oleh majlis kepimpinan atau Syura Taliban berikutan kematian Hakimullah Mehsud, ketua kumpulan itu yang terbunuh dalam serangan drone Amerika Syarikat (AS) pada 1 November lalu.
"Kami akan menjadikan pasukan keselamatan, kemudahan kerajaan, pemimpin politik dan polis sebagai sasaran,'' kata ketua Syura Taliban, Asmatullah Shaheen.
Asmatullah berkata, sasaran utama Taliban termasuk tentera dan kepentingan kerajaan di wilayah Punjab serta kubu kuat politik bagi Perdana Menteri, Nawaz Sharif.
"Kami mempunyai satu rancangan, namun saya ingin menjelaskan, kami tidak akan menyasarkan orang awam, pasar atau tempat awam. Orang ramai tidak perlu bimbang,'' katanya.
Pakistan secara terbuka mengutuk serangan drone AS kerana ia melanggar kedaulatan negara ini namun secara peribadi, pegawai kerajaan mengaku menyokong tindakan Amerika itu.
Militan di Pakistan kebanyakannya bersembunyi di kawasan pedalaman negara ini yang bersempadan dengan Afghanistan, tempat yang tiada penempatan tentera.
Sementara itu, Asmatullah mendakwa, Pakistan mempunyai maklumat penuh tentang serangan oleh Amerika yang mengakibatkan kematian Hakimullah.
"Pakistan adalah hamba Amerika. Ia merupakan sebuah tanah jajahan Amerika,'' katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131109/lu_04/Komander-dalangi-serangan-Malala-ketuai-militan-Taliban-di-Pakistan#ixzz2k93nwhr6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment