|
LAUSANNE, Switzerland - Seorang saintis Switzerland, Profesor Francois Bochud dari Institut Radiofizik Lausanne menyatakan, terdapat bahan polonium dalam kuantiti yang tinggi pada tulang bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Menurut Bochud, bahan beracun itu juga ditemui pada barang-barang peribadi milik Arafat sekali gus menunjukkan terdapat pihak ketiga yang menyebabkan kematiannya pada tahun 2004.
"Ia menunjukkan terdapat pihak ketiga yang terlibat (yang menyebabkan kematian Arafat)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bagaimanapun, pasukan itu hanya memberikan sokongan pada tahap sederhana tentang idea bahawa Arafat telah diracun dengan bahan radioaktif itu
"Hasil kajian kami menyokong teori beliau diracun," tambahnya.
Menurut Pengarah Pusat Forensik Hospital Universiti Lausanne, Patrice Mangin, bahan beracun itu tidak menyerap masuk ke dalam badan Arafat secara semula jadi.
Ekoran pendedahan itu, balu Arafat, Suha menyatakan, beliau yakin terdapat orang yang dekat dengan bekas pemimpin tersebut yang meracunnya.
Beliau menganggap kematian Arafat adalah disebabkan pembunuhan politik.
Kadar kandungan polonium itu adalah 20 kali lebih tinggi daripada yang digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Selepas pendedahan itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin menyatakan, tiada keraguan lagi bahawa Arafat telah mati diracun.
Pegawai itu, Wasel Abu Yusef berkata, pihaknya meminta satu jawatankuasa antarabangsa menyiasat tentang pembunuhan itu.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital di Perancis pada tahun 2004.
Punca kematiannya menjadi misteri dan masih belum disahkan.
Pada tahun lalu, sebuah makmal di sini menemui kesan polonium-210 pada pakaian pemimpin itu yang diserahkan oleh balunya, Soha.
Lebih banyak sampel telah diambil pada jenazahnya di Tebing Barat.
Polonium-210 merupakan bahan radio aktif beracun yang sukar dikesan menggunakan alat pengesan radio aktif kerana susunan zarahnya.
Kurang satu gram serbuk polonium-210 berwarna perak boleh menyebabkan kegagalan organ yang membawa kepada kematian.
Racun tersebut biasanya dicampur ke dalam minuman dan makanan dengan tujuan untuk membunuh mangsa.
Dalam pada itu, ramai penduduk Palestin percaya Israel telah meracun Arafat tetapi dinafikan oleh regim Zionis.
"Kami tidak pernah membuat keputusan untuk memudaratkan Arafat secara fizikal," kata Menteri Tenaga Israel, Silvan Shalom yang berkhidmat sebagai Menteri Luar pada tahun 2004 ketika diwawancara Radio Israel.
"Pada pendapat saya, tuduhan ini telah digembar-gemburkan. Namun, jika benar beliau (Arafat) diracun, ia bukan kerja Israel," kata Shalom.
"Mungkin ada orang dalam yang mempunyai niat atau kepentingan untuk membunuhnya," tambah menteri berkenaan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2k29Ieikp
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment