Sunday, November 24, 2013

Mat Sabu kekal Timbalan Presiden Pas




SHAH ALAM - Mohamad Sabu mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Pas selepas menewaskan pencabar tunggalnya yang dikatakan golongan ulama iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada Pemilihan Pas Pusat kali ini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu meraih sebanyak 588 undi, manakala Mohd. Amar mendapat 490 undi.
Kemenangan Mohamad itu adalah kali kedua selepas menang kali pertama jawatan tersebut pada pemilihan 2011 apabila menewaskan penyandang ketika itu, Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Asmuni Awi pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 di Stadium Shah Alam di sini lewat petang semalam.
Bagaimanapun keputusan bagi jawatan Naib Presiden Pas akan diumumkan hari ini selepas proses pengiraan semula siap dijalankan.
Lima calon yang bertanding ialah tiga penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa yang dicabar oleh Tuan Ibrahim dan Datuk Abu Bakar Chik.
Sementara itu, Asmuni berkata, pihaknya terpaksa mengira semula undian bagi jawatan Naib Presidan kerana terdapat pertindihan jumlah undi hampir sama diperoleh calon-calon.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2lXTWPbOO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment