YALA 29 Nov.- Bekas pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Abdul Rahman Abdulkadir atau Haji Bedo Betong adalah antara 12 banduan yang dibebaskan selepas menerima pengampunan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.
Pengampunan itu adalah bersempena hari keputeraan baginda yang akan disambut pada 5 Disember ini dan hari ulang tahun kelahiran Permaisuri Sirikit pada 12 Ogos lepas.
Faktor usia Abdul Rahman yang kini berusia 74 tahun menyumbang kepada pembebasannya.
Sebelas inividu lain menerima pengampunan kerana berkelakuan dan berakhlak baik ketika menjalani hukuman.
Mereka dibebaskan semalam di Penjara Wilayah Yala dan antara yang hadir ialah Kolonel Polis, Tawee Sodsong iaitu Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) yang juga Pengerusi Majlis Pembebasan Banduan.
Abdul Rahman dipenjarakan sejak 22 Januari 1999 selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah beliau disabitkan dengan kesalahan pemberontakan.
Beliau dipenjarakan di Penjara Bankuang, Bangkok dan di Songkhla sebelum dipindahkan ke Penjara Yala pada Ramadan lepas.
Sementara itu, anak Abdul Rahman, Muhammad Asri Baso, 43, ketika ditemui Bernama, bersyukur atas pembebasan ayahnya.
"Kami bernasib baik kerana ayah dibebaskan dan ini adalah satu kebebasan yang besar dan mendapat keadilan daripada pihak kerajaan," katanya menambah keluarganya hidup dalam keadaan susah selepas bapanya dipenjarakan.
Dalam pada itu Tawee berharap semua banduan yang dibebaskan menggunakan peluang yang diberi oleh kerajan untuk memulakan hidup baharu dan menyumbang kepada negara.
SBPAC sedia membantu mereka memanfaatkan pengetahuan yang diraih sepanjang dalam tahanan untuk membina hidup baharu, katanya. — BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_11/Bekas-pemimpin-PULO-terima-pengampunan-diraja#ixzz2mCJj2C1P
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment