Sunday, December 1, 2013

Situasi Bangkok semakin buruk


Penunjuk perasaan antikerajaan membaling batu ke arah sebuah bas membawa anggota pergerakan Baju Merah dalam perjalanan ke Stadium Rajamangala di Bangkok bagi menyertai demonstrasi menyokong kerajaan, semalam. - AFP
BANGKOK 30 Nov. - Situasi di Bangkok semakin meruncing apabila beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu dua bangunan komunikasi utama negara, hari ini ketika pergerakan kumpulan Baju Merah berhimpun bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan.
Keadaan itu membimbangkan ekoran boleh mencetuskan pertempuran antara kedua-dua kumpulan penunjuk perasaan jika mereka bertembung ketika pasukan keselamatan hanya memantau dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu menyerbu bangunan Organisasi Telefon Thailand (TOT) dan Pihak Berkuasa Komunikasi Thailand (CAT) yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan komunikasi tempatan dan antarabangsa.
Mereka mengepung sebahagian daripada pejabat TOT berdekatan kompleks kerajaan di pinggir bandar Bangkok.
Bagaimanapun, Menteri Maklumat dan Teknologi Komunikasi, Anudith Nakornthap menegaskan bahawa perkhidmatan komunikasi di negara ini tidak akan terjejas biarpun kumpulan penunjuk perasaan menyerbu kedua-dua bangunan tersebut.
"Rakyat tidak perlu risau kerana tunjuk perasaan tersebut tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan komunikasi, selain kerajaan mempunyai sistem sokongan sekiranya berlaku sebarang kecemasan," katanya yang dipetik akhbar, The Nation.
Jurucakap Pergerakan Awam untuk Demokrasi yang turut menyertai tunjuk perasaan tersebut, Ekkanat Phompan berkata, Jabatan Hal Ehwal Awam dan Zoo Dunsit turut menjadi sasaran mereka.
"Rancangan kami adalah untuk memastikan kerajaan lumpuh menjelang Isnin depan," katanya.
Dalam pada itu, Baju Merah berikrar meningkatkan jumlah demonstrasi di Bangkok hari ini dan berikrar melindungi kerajaan.
Lebih 13,000 penyokong Baju Merah daripada 32 daerah di seluruh Thailand menyertai perhimpunan yang diadakan di Stadium Rajamangala.
Sementara itu, penunjuk perasaan antikerajaan menyerang sebuah teksi dan sebuah bas yang membawa pengikut Baju Merah dalam dua kejadian berasingan berdekatan Stadium Rajamangala namun tiada kecederaan dilaporkan. - dpa/AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131201/lu_04/Situasi-Bangkok-semakin-buruk#ixzz2mCJT32Bq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment