Tuesday, December 31, 2013

Berpengaruh dan kontroversi



EDWARD SNOWDEN
EDWARD SNOWDEN
LELAKI Amerika Syarikat (AS) berusia 30 tahun ini mula mendapat perhatian dunia awal tahun ini selepas mendedahkan kerja-kerja pengintipan yang dilakukan oleh agensi risikan negaranya ke atas e-mel peribadi rakyatnya sendiri atas alasan mengekang aktiviti pengganas.
Pendedahan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA) itu mencetuskan kemarahan rakyat AS ke atas kerajaan Presiden Barack Obama yang dianggap menceroboh peribadi mereka. Namun impak lebih besar ekoran pendedahan itu adalah apabila tercetus `perang diplomasi’ antara AS dengan pemimpin negara-negara lain yang turut menjadi mangsa intipan negara Uncle Sam itu.
Presiden Brazil Dilma Roussef menangguhkan lawatan kerja ke AS selepas mendapat tahu yang dirinya, anggota parti dan rakyat negaranya termasuk dalam senarai orang yang diintip NSA.
Di rantau sebelah sini termasuk Malaysia, nama Snowden mula menjadi sebutan apabila akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pendedahan beliau bahawa Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di negara ini melakukan pengintipan dengan memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet rakyat negara ini.
Snowden mendedahkan perkara sama berlaku di Indonesia, Jerman dan beberapa negara lagi.
Akibat tindakannya mendedahkan operasi sulit itu, Snowden terpaksa menjadi pelarian apabila White House dan jawatankuasa perisikan Kongres AS menolak rayuan pengampunan yang dikemukakannya menerusi surat yang diberikan kepada ahli politik Jerman sebelum disiarkan kepada umum.
Jawatankuasa Perisikan Senat AS berpendapat jika benar Snowden mempunyai maklumat itu, beliau sepatutnya melaporkan perkara tersebut kepada jawatankuasa itu terlebih dahulu, bukan mendedahkannya kepada umum. Jawatankuasa itu melihat pengampunan kepada Snowden sebagai 'satu idea yang teruk'.
Sesungguhnya pembongkaran oleh Snowden ini telah membuka mata dunia tentang keikhlasan AS dalam mencari kawan yang sememangnya telah lama diragui. Pendedahan Snowden telah membuka pekung AS di kalangan sekutunya.
Agak ironik apabila kuasa besar yang sibuk mengintip rahsia orang lain, melangkaui sempadan negara asing, gagal mengesan gerakan yang berlaku di bawah bumbungnya sendiri.
Pembocoran maklumat sulit NSA oleh Snowden ini sebenarnya bermula sejak penghujung 2012 apabila beliau mendedahkannya kepada wartawan akhbar The Guardian, Glenn Greenwald.
Sehingga Mei 2013, pihak NSA masih tidak mengetahuinya sehinggalah wawancara secara online bersama akhbar Der Spiegel disiarkan namun ketika itu Snowden telah pun melarikan diri ke Hong Kong.
Sejak itu akhbar The Guardian (Britain), Der Spiegel (Jerman), The Washington Post dan The New York Times (AS), O Globo (Brazil), Le Monde (France) dan beberapa lagi, terus menyiarkan pendedahan tentang kerja-kerja pengintipan AS secara konsisten.
Menurut Snowden yang kini berlindung di Rusia, NSA didakwa mula mengumpul data komunikasi secara meluas sejak insiden serangan 11 September 2001.
Bagi Snowden, misinya tercapai selepas enam bulan mendedahkan rahsia NSA apabila AS terpaksa mengkaji semula dasar pengintipan negara itu.
Dalam wawancara bersama The Washington Post, Snowden berkata, beliau berpuas hati kerana masyarakat umum kini mengetahui kerajaan AS melakukan pengintipan secara meluas melalui Internet dan rekod panggilan telefon.
"Saya telah menang dan secara peribadi, misi ini telah mencapai matlamatnya. Saya tidak mahu mengubah masyarakat, tetapi saya mahu orang ramai diberi peluang sama ada mahu berubah dengan sendiri atau tidak," katanya.
Menurut Snowden, beliau tidak berniat mengkhianati NSA, sebaliknya mahu memperbaiki kelemahan agensi berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_03/Berpengaruh-dan-kontroversi#ixzz2p2rvHkXb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment