Tuesday, December 31, 2013

Gelandangan bersihkan loji nuklear

Gelandangan bersihkan  loji nuklearIKLAN tawaran kerja di asrama pekerja di Tome, wilayah Miyagi Jepun, mendorong gelandangan memohon untuk bekerja di loji pembersihan bahan radioaktif, manakala (gambar kecil) penunjuk perasaan memakai sut khas membawa tong sisa nuklear olok-olok bagi membantah rancangan kerajaan Jepun untuk memulakan kembali operasi loji nuklear negara itu, baru-baru ini. - Foto REUTERS/AFP Tindakan kontraktor cetus bantahan, langgar hak asasi manusia

Tokyo: Satu siasatan mendedahkan bahawa kontraktor di loji jana kuasa nuklear Jepun di Fukushima Daiichi, yang musnah akibat gempa bumi mengambil penduduk gelandangan untuk bekerja di dalam operasi pembersihan bahan radioaktif.

Siasatan mendapati bahawa kontraktor terbabit menggunakan gelandangan untuk bekerja dalam projek berbahaya nyah cemar dengan gaji di bawah paras minimum kira-kira AS$6.50 (RM21.41) sejam.

“Kami adalah sasaran mudah untuk perekrut,” kata Shizuya Nishiyama, 57, gelandangan yang diambil untuk membersihkan kawasan radioaktif di Fukushima.


Tak terima gaji

Katanya, sebilangan broker buruh berkata kepada kami, “Adakah anda mencari kerja? Adakah anda lapar? Dan jika kami tidak makan apa-apa, mereka kemudian menawarkan kami pekerjaan.”

Seorang paderi Baptist dan pemimpin kumpulan sokongan gelandangan Sendai Night Patrol Group, Yasuhiro Aoki, berkata tanpa sebarang maklumat mengenai bahaya potensi, ramai penduduk gelandangan diletakkan di dalam asrama, manakala bayaran untuk tempat tidur dan makanan secara automatik ditolak daripada gaji mereka.
“Kemudian, pada akhir bulan, mereka tidak dibayar gaji sama sekali,” katanya.

Satu undang-undang pada 2011 yang mengawal selia nyah cemar meletakkan Kementerian Alam Sekitar Jepun bertanggungjawab untuk menguruskan misi pembersihan.

Bagaimanapun, undang-undang sama mengawal kontraktor secara longgar, menjadikannya mudah bagi mereka mendapat kontrak mengeluarkan bahan radiasi tanpa mematuhi hak asasi untuk pekerja.

Kontraktor atasan, termasuk Kajima Corp, Taisei Corp dan Shimizu Corp bertanggungjawab untuk memantau pengambilan pekerja, rekod keselamatan dan kelayakan ratusan firma kecil terbabit dalam proses nyah cemar di Fukushima.


Operasi perlahan

Pihak berkuasa berkata, operasi pembersihan di loji Fukushima agak perlahan disebabkan kekurangan pekerja.

Loji berkenaan membocorkan radiasi ke udara, tanah dan Lautan Pasifik sejak ia dilanda satu gempa bumi dan tsunami magnitud 9 pada 11 Mac 2011.

Gegaran itu mencetuskan satu krisis nuklear dengan memutuskan bekalan kuasa kepada sistem penyejukan dan peleburan reaktor di loji yang terletak di pantai timur laut Jepun. - AGENSI

No comments:

Post a Comment