BANGKOK 23 Dis. - Penunjuk perasaan antikerajaan meningkatkan usaha untuk menghalang proses pilihan raya umum yang akan diadakan pada tahun depan dengan menyekat laluan pendaftaran calon-calon pilihan raya itu yang bermula hari ini.
Beratus-ratus penunjuk perasaan mengepung sebuah stadium di Din Daeng, Bangkok yang menjadi lokasi wakil parti politik mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya umum sebelum tarikh akhir pada Jumaat ini.
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, Somchai Srisutthiyakorn berkata, sebanyak sembilan parti berjaya memasuki stadium tersebut, namun pegawai gagal untuk melengkapkan pendaftaran mereka.
Somchai berkata, sebanyak 24 parti politik memfailkan aduan kepada polis selepas mereka dihalang untuk mendaftar calon.
Jurucakap parti pemerintah, Parti Phue Thai, Prompong Nopparit berkata, wakil mereka berjaya masuk ke stadium itu pada awal pagi sebelum disekat oleh penunjuk perasaan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berada di tempat teratas senarai calon parti tersebut, kedudukan yang akan menyaksikan beliau dilantik semula untuk memegang jawatan itu jika Phue Thai memenangi pilihan raya berkenaan.
Pada masa sama, kira-kira 5,000 penunjuk perasaan cuba menguasai Jabatan Siasatan Khas (DSI) di Bangkok selepas jabatan itu mendakwa pemimpin mereka atas dakwaan perhimpunan haram.
DSI turut membekukan akaun pemimpin-pemimpin demonstrasi tersebut pada minggu lepas.
Pencalonan Yingluck dijangka meningkatkan kemarahan penunjuk perasaan yang mahu menghapuskan pengaruh abangnya, Thaksin yang juga merupakan bekas Perdana Menteri.
Penunjuk perasaan berikrar untuk menghapuskan 'rejim Thaksin' dan menentang pilihan raya tersebut yang didakwa hanya akan menyaksikan sebuah lagi kerajaan yang berada di bawah pengaruhnya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131224/lu_02/Krisis-politik-Thailand-meruncing#ixzz2oMcaDyOw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment