|
BANGKOK - Penunjuk perasaan anti kerajaan yang nekad menumbangkan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengepung sebuah stadium di sini tetapi gagal menghalang parti-parti politik daripada mendaftar untuk pilihan raya Februari depan.
Yingluck yang popular dalam kalangan majoriti penduduk di pedalaman tetapi dibenci oleh golongan kelas sederhana dan elit mengumumkan pilihan raya pada 2 Februari depan untuk meredakan ketegangan di negara itu.
Pengumuman pilihan raya itu dibuat selepas ibu kota Thailand di sini dilanda tunjuk perasaan selama beberapa minggu yang kadangkala bertukar ganas.
Cubaan menghalang proses demokrasi itu berlaku selepas pembangkang utama, Parti Demokrat mengumumkan akan memulaukan pilihan raya tersebut yang dipercayai akan dimenangi oleh Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck.
Beberapa pegawai Parti Pheu Thai dan lapan yang lain sempat mendaftar untuk pilihan raya itu dengan mencuri masuk ke dalam stadium tersebut pada tengah malam.
"Kami sedar penunjuk perasaan menyekat semua laluan masuk oleh itu, kami memasuki stadium berkenaan pada pukul 4 pagi ketika mereka sedang tidur," kata jurucakap Parti Pheu Thai, Prompong Nopparit.
"Di sebalik halangan ini, pilihan raya akan tetap didakan seperti yang dirancang pada 2 Februari depan," tambahnya.
Lebih 24 parti politik lain turut mendaftar di sebuah balai polis berdekatan selepas mereka mengadu tidak dapat memasuki stadium itu akibat sekatan penunjuk perasaan.
Beratus-ratus penunjuk perasaan turut cuba mengepung balai polis berkenaan sebelum mereka cuba menghalang perwakilan beberapa parti politik daripada beredar.
Penunjuk perasaan itu yang kebanyakannya terdiri daripada warga kota raya ini mendakwa Yingluck perlu disingkir untuk membersihkan Thailand daripada gejala rasuah dan politik wang.
Mereka menganggap Yingluck sebagai boneka abangnya iaitu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang ditumbangkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006.
Thaksin kini tinggal di luar negara selepas didapati bersalah kerana rasuah.
Penunjuk perasaan mahu sebuah kerajaan sementara dilantik untuk melakukan pembaharuan politik dan pilihan raya sebelum pilihan raya baharu diadakan.
Namun, keluarga Shinawatra memiliki sokongan penduduk pedalaman miskin susulan dasar Thaksin membawa pelan penjagaan kesihatan hampir percuma, pinjaman kecil dan banyak faedah lain ke pedalaman negara itu.
Dalam pada itu, Yingluck meluangkan masa beberapa hari dengan mengunjungi kubu kuat partinya di utara dan timur Thailand.
Kerajaannya memberitahu bahawa pemulauan oleh penunjuk perasaan menunjukkan bahawa mereka takut akan kalah dalam pilihan raya tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban telah mengumpulkan ramai penyokongnya di sini sejak beberapa minggu lalu termasuk lebih 100,000 orang kelmarin.
Dalam satu ucapan yang berapi-api kelmarin, Suthep berjanji akan meneruskan protes dan sekatan di sini sehingga semua matlamat mereka tercapai.
"Kita akan terus mengejarnya (Yingluck) sehingga beliau mati atau berundur," katanya.
"Jika pilihan raya masih diadakan pada 2 Februari depan, kita akan menutup seluruh Thailand dan tiada sesiapa akan keluar mengundi," tambahnya. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2oKupDTFt
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment