Friday, December 27, 2013

Polis Thailand ambil tindakan


Penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis selepas pasukan keselamatan itu cuba menyuraikan demonstrasi yang menghalang proses pendaftaran calon pilihan raya di stadium Thai-Jepun di Dan Daeng, Bangkok, semalam. - afp
BANGKOK 26 Dis. - Selepas beberapa minggu demonstrasi antikerajaan bermula, polis Thailand akhirnya mengambil tindakan untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang cuba menghalang proses pendaftaran bagi pilihan raya umum di sebuah stadium di sini, hari ini.
Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air ke arah penunjuk perasaan.
Pertempuran tersebut sekali gus memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menggesa kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mempertimbangkan untuk menangguhkan pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 2 Februari depan.
Dalam kejadian hari ini, seorang polis terbunuh dan sekurang-kurangnya 66 penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran yang meletus di pusat pendaftaran Stadium Thai-Jepun di Dan Daeng.
Tiga lagi anggota polis turut dilaporkan cedera dan kini dirawat di hospital tempatan.
Difahamkan, kekecohan tercetus apabila penunjuk perasaan bertindak menggunakan sebuah trak untuk merempuh pintu pagar stadium bagi mengganggu proses pendaftaran kira-kira 30 wakil parti politik Thailand.
Ekoran itu, polis mengerahkan anggota polis ke lokasi kejadian hingga menyebabkan pertempuran berlaku apabila penunjuk perasan mula melontar batu dan mercun ke arah pihak berkuasa.
Pertempuran terbabit berlanjutan selama dua jam sebelum kira-kira 1,000 anggota polis tambahan tiba untuk membantu mengawal keadaan.
Sementara itu, proses pendaftaran calon dalam pilihan raya umum itu akan berakhir esok. - BERNAMA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131227/lu_04/Polis-Thailand-ambil-tindakan#ixzz2ocaOrane
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment