DHAKA 26 Dis. - Berpuluh-puluh ribu tentera Bangladesh dikerahkan di seluruh negara bermula hari ini sebagai langkah untuk mengekang keganasan politik menjelang pilihan raya yang berlangsung pada awal bulan depan.
Kerahan tentera itu dijangka membangkitkan lagi kemarahan kumpulan pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang memboikot pilihan raya pada 5 Januari depan dan merancang mengadakan bantahan besar-besaran bermula 29 Disember bagi merosakkan rancangan kerajaan terbabit.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya, S.M. Asaduzzaman berkata, anggota tentera akan ditempatkan di 59 daripada 64 daerah di negara ini.
"Mereka akan bertindak tegas sekiranya berlaku sebarang keganasan dan mengawal kawasan, jalan dan lebuh raya yang penting sepanjang proses pilihan raya berlangsung," katanya.
Dalam pada itu, jurucakap tentera, Muhammad Reza-ul Karim berkata, rondaan askar dalam pasukan kecil telah dilaksanakan sejak awal minggu ini, manakala kerahan secara besar-besaran akan bermula hari ini dan diteruskan sehingga 9 Januari depan.
"Kerahan ini dilakukan atas permintaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai usaha memastikan proses pengundian berjalan secara bebas, adil dan aman," katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah anggota tentera yang terlibat, namun media tempatan menganggarkan kira-kira 50,000 askar dikerah untuk tugas berkenaan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131227/lu_05/Puluhan-ribu-askar-Bangladesh-dikerah-sebelum-pilihan-raya#ixzz2ocaI9w3S
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment