Saturday, January 11, 2014

1.7 juta data tentera AS dicuri

1.7 juta data tentera AS dicuri
Edward Snowden 


Kedudukan pasukan ketenteraan AS seluruh dunia dalam bahaya

Washington: Tindakan mencuri 1.7 juta dokumen rahsia oleh kontraktor perisikan Edward Snowden berpotensi menyebabkan angkatan tentera Amerika Syarikat di seluruh dunia 'benar-benar' bahaya, kata penggubal undang-undang di dalam laporan sulit Pentagon.

Isnin lalu, Jabatan Pertahanan mengedarkan dokumen rahsia kepada ahli Kongres utama, yang memperincikan potensi impak daripada pendedahan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA). Laporan itu tidak diterbitkan kepada umum.

Jurucakap DIA berkata, Ketua Agensi Perisikan Pertahanan (DIA), Leftenan Jeneral Michael Flynn membentuk sebuah jawatankuasa Pentagon yang dikenali sebagai ‘Kajian Semula Maklumat Pasukan Petugas-2’ sebaik saja kecurian dokumen rahsia Snowden disedari.

Jawatankuasa yang diterajui DIA bekerjasama dengan beberapa ahli komuniti perisikan, perkhidmatan ketenteraan dan pemimpin angkatan tentera.

“Matlamatnya adalah untuk menilai potensi kesan kepada Jabatan Pertahanan daripada kebocoran maklumat ini,” tambah jurucakap yang namanya tidak didedahkan.

Hanya penilaian awal diberikan kepada pembuat undang-undang dan jawatankuasa itu ‘meneruskan tugas ketika maklumat tambahan sedang dinilai.
Pengkhianatan Snowden

Snowden memperincikan operasi pengumpulan data perisikan Amerika Syarikat, tetapi pembuat undang-undang mengingatkan bahawa tindakan salah beliau membabitkan jumlah data ketenteraan yang besar.

“Laporan ini mengesahkan kebimbangan terbesar saya, pengkhianatan Snowden mendedahkan tentera kepada risiko lebih tinggi,” kata pengerusi Jawatankuasa risikan, Mike Rogers dalam satu kenyataan bersama dengan ahli Demokrat utama panel itu, Dutch Ruppersberger.

Tindakan Snowden, yang kini menerima perlindungan sementara di Russia mungkin mempunyai kesan berbahaya kepada anggota tentera kami di lapangan,” kata Rogers.

Snowden dan penyokongnya sebaliknya menyatakan pendedahan beliau mengenai perincian program rahsia Amerika Syarikat dengan memantau banyak panggilan telefon dan data internet membabitkan semua warga Amerika hanya sebahagian misinya mempertahankan kebebasan awam.

Pendedahan beliau mencetuskan pertikaian di Amerika Syarikat mengenai imbangan antara kebebasan individu dan usaha menentang keganasan, tetapi mencetuskan kemarahan terhadap Washington ekoran tindakan NSA memantau telefon bimbit pemimpin utama dunia termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel. - AFP

No comments:

Post a Comment