Monday, January 6, 2014

18 maut keganasan hari mengundi


POLIS menendang seorang suspek yang disyaki menyerang sebuah pusat membuang undi di bandar Bogra, utara Bangladesh semalam.


DHAKA - Beribu-ribu penunjuk perasaan membaling bom api ke arah sejumlah pusat mengundi manakala 18 orang mati dalam keganasan yang tercetus di seluruh Bangladesh semalam.
Kekacauan itu berlaku semasa orang ramai keluar mengundi dalam pilihan raya umum yang dipulaukan oleh pihak pembangkang.
Polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan ketika mereka cuba membakar lebih 200 pusat mengundi dan mencuri kertas undi dalam usaha mensabotaj pilihan raya itu.
"Kami melihat beribu-ribu penunjuk perasaan menyerang pusat mengundi dan anggota kami di banyak lokasi menggunakan bom petrol," kata ketua polis daerah Bogra di utara Bangladesh, Syed Abu Sayem.
"Situasi kini amat tidak stabil," tambahnya.
Dalam pada itu di ibu kota Bangladesh di sini, polis mengesahkan terdapat tiga insiden pusat mengundi diserang menggunakan bom api.
Kerajaan mengerahkan puluhan ribu askar ke seluruh negara untuk mengawal keselamatan selepas kira-kira 150 orang maut dalam kekacauan menjelang pilihan raya itu tetapi mereka gagal mengekang pertumpahan darah daripada terus berlaku.
Parti pemerintah, Liga Awami menuduh pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) sebagai mendalangi keganasan tersebut.
Setakat ini, pemimpin parti tersebut Khaleda Zia dikenakan tahanan dalam rumah.
Pihak pembangkang menuntut Perdana Menteri Sheikh Hasina supaya memberi laluan kepada pembentukan sebuah kerajaan sementara yang neutral sebelum pilihan raya diadakan bagi memastikan insiden penipuan kertas undi yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.
Namun, tuntutan pembangkang itu tidak dipedulikan oleh kerajaan yang meneruskan pilihan raya tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pYvpenDf 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment