Tuesday, January 14, 2014

Bangkok umpama kubu


TIMBUNAN guni pasir diletakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di sebuah persimpangan di Bangkok.


BANGKOK - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan menawan jalan-jalan utama di Bangkok semalam dalam usaha untuk melumpuhkan bandar raya berkenaan, sekali gus mendesak Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra meletak jawatan.
Kumpulan penunjuk perasaan membanjiri persimpangan utama di Bangkok dan membina pentas ceramah, khemah dan gerai-gerai yang menawarkan makanan percuma untuk para peserta.
Mereka juga berikrar untuk menawan lokasi-lokasi utama di Bangkok sehingga Yingluck meletak jawatan dan mengancam untuk mengganggu pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari depan.
"Hari ini (semalam) akan tertulis dalam sejarah Thailand," kata ketua penunjuk perasaan tersebut, Suthep Thaugsuban dalam satu bantahan malam kelmarin.
Beliau yang pernah menjadi timbalan perdana menteri juga berikrar untuk meluaskan bantahan berkenaan bagi melumpuhkan bandar berkenaan sehingga kerajaan sedia ada tumbang.
Para penunjuk perasaan itu cuba memaksa Yingluck meletak jawatan dengan sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan poli- tik wang di Thailand.
Mereka juga mahu menggagalkan pilihan raya umum lebih awal yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan kerana bimbang pemimpin yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kembali berkuasa.
Para penunjuk perasaan itu menuduh Yingluk menjadi boneka kepada Thaksin yang juga abangnya.
Thaksin pernah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 selepas kerajaannya dicemari dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Namun, Thaksin kini hidup dalam buangan dan akan dihukum penjara dua tahun jika kembali ke Thailand selepas didapati bersalah melakukan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi Perdana Menteri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2qJiRCI4Q 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment