Friday, January 17, 2014

Bantahan hilang momentum


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan, duduk berehat di khemah masing-masing sambil mendengar ucapan pemimpin mereka di persimpangan Asoke, Bangkok, Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK 16 Jan. - Kerajaan sementara Thailand, hari ini meminta kerjasama polis untuk menahan pemimpin kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan kerana mengugut mahu menahan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan melumpuhkan sebahagian kawasan di tengah ibu negara ini.
Timbalan Perdana Menteri sementara, Surapong Tovichakchaikul berkata, tindakan penunjuk perasaan yang menganjurkan bantahan 'Tutup Bangkok' bagi menggulingkan Yingluck, dilihat semakin kehilangan momentum dengan jumlah peserta yang semakin berkurangan di jalanan.
Jelasnya, pemimpin pergerakan antikerajaan itu masih bergerak bebas di Bangkok dengan menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan mengutip derma daripada penyokong, walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka atas kesalahan menyebabkan keganasan awam yang mengorbankan lapan orang dan mencederakan beratus-ratus lagi sebelum ini.
Seorang daripada pemimpin yang dikehendaki, iaitu ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berdepan dakwaan melakukan pemberontakan yang boleh dikenakan hukuman mati.
Suthep turut didakwa atas kesalahan membunuh ketika pihak tentera mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan pembangkang semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2010.
"Bekas anggota Parlimen pembangkang itu dilindungi kira-kira 40 pengawal peribadi.
"Jadi polis mempunyai tugas untuk menahan Suthep atau pihak berkuasa akan berdepan tuduhan bersubahat dengan beliau," kata Surapong selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Thailand, Jeneral Adul Saengsingkaew.
Dalam pada itu, Adul berkata, kira-kira 7,000 penunjuk perasaan masih berada di sekitar Bangkok hari ini, berbanding 23,000 orang semalam.
Bagaimanapun beliau memberi amaran, angka berkenaan boleh meningkat selepas tamat waktu kerja.
"Ramai peserta perhimpunan itu telah pulang ke bahagian selatan negara ini," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_02/Bantahan-hilang-momentum#ixzz2qbCGPxrN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment