16 Januari 2014
Ribuan penyokong meneruskan protes, bagaimanapun jumlah mereka mula berkurangan semalam.
BANGKOK - THAILAND. Kediaman bekas Perdana Menteri Thailand yang juga pemimpin parti Demokrat Abhisit Vejjajiva di Sukhumvit Soi 31 dilempar bahan letupan ketika protes anti kerajaan memuncak tengah malam, kelmarin.
Ketua Polis Bang Na Thawatkiat Kuanchinda berkata, letupan itu menyebabkan bumbung dan tingkap rumah berkenaan rosak teruk.
“Ketika kejadian, pemimpin itu tiada di rumah. Empat suspek ditahan namun dibebaskan sejam kemudian selepas kekurangan bukti,” katanya.
Di Nang Loeng, sebuah bas yang dalam perjalanan dari wilayah Phatthalung dibakar.
Pemandu bas Ampai Saengpratheep berkata, bas berkenaan digunakan untuk membawa penunjuk perasaan dari wilayah selatan ke sini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama , dua orang cedera termasuk seorang wanita selepas terkena tembakan.
Stesen televisyen tempatan melaporkan, terdapat kehadiran puluhan lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan secara rambang.
Menurut Bangkok Post, hingga semalam, penunjuk perasaan pimpinan Suthep Thaugsuban masih menawan tujuh kementerian termasuk ibu pejabat polis.
No comments:
Post a Comment