Thursday, January 9, 2014

GRANADA - TUMBANGNYA KEKUASAAN ISLAM TERAKHIR DI SEPANYOL. (BAHAGIAN 2 - AKHIR)




EMIRIYAH GRANADA

Semasa peristiwa "Reconquista", negara-negara Islam ditawan semula oleh tentera Kristian yang menyerang dari arah utara. Bandar-bandar utama Cordoba, Seville dan Toledo ditawan satu persatu dalam peperangan yang berlarutan dari tahun 1000-an kepada 1200-an. Pergerakan Murabitun dan Muwwahidun (dikenali juga sebagai Almoravid dan Almohad) daripada Afrika Utara hanya berupaya membantu memperlahankan momentum tentera Kristian, tetapi perpecahan di kalangan umat Islam ketika itu akhirnya membawa kepada kerugian yang berterusan.

Tinggal satu negeri Islam - Granada - berjaya mempertahankan kedaulatannya daripada penaklukan tentera Kristian dalam tahun 1200-an. Selepas kejatuhan Cordoba pada tahun 1236, raja-raja Emiriyah Granada menandatangani perjanjian khas dengan Kerajaan Castile, salah satu kerajaan Kristian yang paling kuat pada ketika itu. Granada telah bersetuju untuk menjadi negeri ufti kepada Castile. Ini bermakna mereka dibenarkan untuk kekal bebas sebagai Emiriyah Granada, tetapi sebagai balasan untuk tidak diserang oleh Castile, mereka terpaksa membayar sejumlah wang ufti (biasanya dalam bentuk emas) setiap tahun kepada monarki Castilia. Ini merupakan permulaan kepada kemerosotan pengaruh kuasa Islam di Granada kerana bayaran ufti sebagai jaminan perlindungan sebenarnya mengukuhkan lagi kedudukan musuh-musuh mereka.

Walaupun begitu, salah satu sebab Granada masih dapat mengekalkan kemerdekaannya adalah disebabkan faktor geografi. Terletak di pergunungan Sierra Nevada di selatan Sepanyol, kawasan ini mempunyai gunung-ganang sebagai benteng pertahanan semulajadi bagi mana-mana tentera yang ingin menyerang. Oleh itu, walaupun kekuatan ketenteraannya lebih lemah daripada Castile, faktor lokasi memberikan kelebihan pertahanan yang besar kepada Granada.


PEPERANGAN GRANADA

Selama lebih 250 tahun Granada kekal sebagai negara jajahan Castile. Tetapi dengan dikelilingi oleh negara-negara Kristian yang tidak memihak kepadanya, Granada sentiasa berdepan dengan ancaman daripada negara jirannya sendiri. Dalam awal 1400-an, seorang sarjana Islam telah menulis tentang kerajaan terakhir al-Andalus, "Adakah dapat kamu lihat Granada tersepit diantara lautan ganas dan ancaman daripada pakatan musuh yang kuat, yang mana kedua-duanya saban hari menindas rakyatnya siang dan malam?" Penaklukan Granada berlaku pada 1469 apabila perkahwinan Raja Ferdinand dari Aragon dan Ratu Isabella dari Castile telah menyatukan dua buah kerajaan Kristian yang paling berkuasa di Semenanjung Iberia. Dengan kekuatan yang baru terbentuk ini, orang-orang Kristian telah mula mencatur langkah menetapkan sasaran untuk melenyapkan negara Islam terakhir ini dari peta semenanjung Iberia. Dalam tahun 1482, perang telah tercetus di antara Kerajaan Sepanyol baru dan Emiriyah Granada. Walaupun berada dalam kedudukan yang lebih lemah, semangat juang rakyat Granada adalah begitu tinggi. Seorang sejarawan Sepanyol menyatakan rasa hormatnya kepada tentera Islam dengan menulis, "Moors (umat Islam) menumpukan semua kekuatan jasmani dan rohaniah mereka di dalam pertempuran tersebut, sebagaimana seorang lelaki bermaruah yang berjuang untuk mempertahankan nyawanya, isterinya, dan anak-anaknya." Para pejuang Granada yang terdiri daripada orang awam biasa dan angkatan tentera Islam berjuang bermati-matian mempertahankan kedaulatan Islam di Al-Andalus dengan penuh keberanian. Ini amat berbeza sekali dengan sikap pemerintah Islam ketika itu yang tidak menampakkan komitmen dan kesungguhan dalam peperangan tersebut.

Sepanjang tempoh peperangan, orang-orang Kristian dilihat kekal bersatu dan tidak berpecah kepada puak masing-masing (yang ketika itu seringkali bertelagah akibat perbezaan mazhab). Sebaliknya, pemimpin Islam Granada sedang mengalami pergolakan politik dalaman yang besar . Pemimpin atasan dan gabenor seringkali berbalah dan berlumba-lumba menjatuhkan kedudukan antara satu sama lain. Ramai juga daripada mereka telah berpaling tadah kepada kerajaan-kerajaan Kristian kerana tamakkan harta kekayaan , tanah, dan kuasa. Lebih teruk daripada semua itu, pada 1483 (selepas setahun berperang) anak sultan, bernama Muhammad pula memberontak terhadap bapanya sehingga mencetuskan perang saudara di Granada. Pergolakan dalaman ini tidak kurang hebatnya dibandingkan dengan angkatan perang Sepanyol yang mula memperhebatkan serangan dari luar.

Raja Ferdinand menggunakan situasi perang saudara ini untuk kelebihan beliau. Dia memberi sokongan terbuka kepada Muhammad dalam pemberontakan terhadap bapanya (dan kemudian, bapa saudaranya) dalam usaha untuk melumpuhkan Granada keseluruhannya. Muhammad dibantu dengan senjata dan angkatan tentera oleh Ferdinand dalam memerangi ahli-ahli keluarganya sehingga beliau (Muhammad) dapat mengambilalih tampuk kekuasaan Granada. Sepanjang pergolakan ini, tentera Kristian perlahan-lahan menakluki setiap inci tanah Granadia tanpa disedari. Sehinggalah pada masa Muhammad mengambil alih tampuk kuasa pada tahun 1490, beliau hanya memerintah bandar Granada sahaja sedangkan bandar- bandar di sekitarnya telah jatuh ke tangan tentera Ferdinand.


BENTENG TERAKHIR GRANADA

Sebaik sahaja menduduki takhta pemerintahan Granada, Muhammad telah menerima surat daripada Raja Ferdinand yang menuntut beliau segera menyerahkan ibu kota tersebut. Muhammad sangat terkejut dengan permintaan ini kerana selama ini beliau beranggapan Ferdinand akan memberi sokongan kepadanya untuk memerintah Granada. Ternyata, terlalu lewat untuk Muhammad menyedari bahawa dirinya tak lain hanyalah bidak catur yang digunakan oleh Ferdinand untuk melemahkan Granada.

Muhammad kemudiannya memutuskan untuk mendapatkan bantuan dari kerajaan-kerajaan Islam lain di seluruh Afrika Utara dan Timur Tengah bagi menentang tentera Kristian Sepanyol. Beliau tidak mendapat sokongan melainkan sepasukan kecil tentera laut Uthmaniyyah yang datang menyerbu pantai Sepanyol namun serangan itu tidak mendatangkan sebarang kesan. Menjelang akhir tahun 1491, bandar Granada telah dikelilingi oleh tentera Ferdinand. Dari jendela menara istana Alhambra, Muhammad dapat melihat bala tentera Kristian yang besar sedang bersiap sedia untuk menakluki bandar Granada. Dalam keadaan terdesak, Muhammad telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian untuk melepaskan pemerintahan bandar ini pada bulan November 1491.
Tanggal 2 Januari 1492, perjanjian itu berkuat kuasa dan tentera Sepanyol memasuki Granada secara rasmi dan mengambil alih negara Islam yang terakhir Al-Andalus . Pada pagi itu juga tentera Kristian menawan keseluruhan istana Alhambra yang menjadi legenda selama ini. Mereka menggantung kain rentang dan bendera raja-raja Kristian Sepanyol daripada tembok istana bagi menandakan kemenangan mereka. Di bahagian atas menara tertinggi Alhambra, mereka mendirikan sebuah salib gergasi yang terbuat dari perak bagi memberitahu kepada rakyat Granada bahawa kuasa Kristian telah menang keatas orang Islam di Al-Andalus . Penduduk Islam terlalu takut untuk berada di luar rumah sehinggakan jalan-jalan di kota menjadi lengang kerana ditinggalkan.

Sultan Muhammad telah dihukum buang negeri. Semasa dalam perjalanan keluar dari Granada, beliau berhenti sejenak dilaluan gunung, menoleh ke arah kota Granada buat kali terakhir dan mula menangis. Ibunya tidak senang dengan perlakuannya yang menampakkan penyesalan secara tiba-tiba memarahi beliau dengan kata-kata, "Jangan kau menangis seperti seorang perempuan untuk sesuatu yang kamu tidak dapat pertahankan sebagai seorang lelaki."

Walaupun kemenangan orang-orang Kristian ini telah menjanjikan kebebasan beragama dan terma-terma yang menarik kepada rakyat Granada umumnya, namun janji-janji ini telah lama dimungkiri. Awal tahun 1502, agama Islam diharamkan secara rasmi di Granada dan beratus-ratus ribu orang Islam terpaksa membuat pilihan, berhijrah keluar sama ada ke Afrika Utara atau kekal bermastautin tetapi tidak boleh menzahirkan kepercayaan mereka. Menjelang awal 1600-an, tiada lagi penduduk Islam dapat ditemui di seluruh Sepanyol.

Kisah kejatuhan Al-Andalus daripada peneraju kuasa politik dan sosial yang terkemuka di dunia Islam dalam tahun 1000-an kepada keadaan hina dan dijajah pada lewat tahun 1400-an adalah salah satu tragedi duka yang tiada bandingnya dalam sejarah Islam. Perbalahan yang berterusan di kalangan umat Islam, kekurangan sokongan daripada empayar Islam yang lain dan perebutan kuasa untuk kepentingan peribadi semata-mata bukan bertujuan untuk perpaduan Islam akhirnya telah menyumbang kepada perpecahan empayar Islam. Dan tragedi pilu ini berakhir dengan kehilangan Granada pada tahun 1492.

No comments:

Post a Comment