DOHA 8 Jan. - Ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang dikaitkan dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin semalam mengeluarkan 'fatwa' melarang rakyat Mesir menyertai pungutan suara yang akan diadakan minggu depan oleh kerajaan sementara yang disokong tentera.
Sebelum ini, penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi telah pun menggesa penduduk Mesir supaya memulaukan pungutan suara itu yang dijadual diadakan pada 14 dan 15 Januari ini, bertujuan membentuk Perlembagaan baharu Mesir.
Qaradawi yang dilahirkan di Mesir dan mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam berkata, mereka yang mengambil bahagian dalam pengundian itu adalah penentang Islam, kerana perbuatan tersebut bermakna mereka bersubahat dengan 'dosa'.
''Menyertai pungutan suara untuk (membentuk) Perlembagaan Mesir dan (sebarang) sumbangan dalam apa cara (sekalipun) untuk mengukuhkan kekuasaan perampas kuasa atau memberi pengiktirafan atau melanjutkan kewujudan dan mengukuhkan kehadirannya adalah bersubahat dengan dosa dan tindakan yang ditegah agama,'' katanya ketika muncul dalam televisyen Al-Jazeera di Qatar.
Qaradawi yang kini menetap di Qatar selepas kerakyatannya dilucutkan oleh kerajaan Mesir beberapa dekad lalu, sebelum ini telah mengeluarkan fatwa menyeru penduduk Mesir supaya mengembalikan semula jawatan Mursi sebagai Presiden Mesir.
Beliau mengeluarkan fatwa itu selepas Mursi dibawa semula ke mahkamah, hari ini bagi menghadiri perbicaraan atas tuduhan menghasut pembunuhan aktivis pembangkang di luar Istana Presiden pada Disember 2012.
Qaradawi sendiri amat dikehendaki kerajaan sementara Mesir dan berdepan perbicaraan tanpa kehadiran beliau.
Negara Teluk itu juga memberi perlindungan kepada beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin lain yang melarikan diri daripada tindakan kekerasan pasukan keselamatan Mesir.
Mesir pada masa sama meminta Qatar supaya menghormati perjanjian menentang keganasan Arab 1998 dan menyerahkan Qaradawi dan beberapa pemimpin pergerakan Islam itu kepada kerajaan Mesir. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140109/lu_11/Yusuf-al-Qaradawi-larang-rakyat-Mesir-sertai-pungutan-suara#ixzz2psd3E3xC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment