Surabaya: Polis Indonesia berjaya menahan dua suspek militan yang disyaki merancang serangan ke atas kawasan pelacuran dan balai polis di bandar kedua terbesar negara itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak polis semalam, Isnaini Ramdhoni dan Abdul Majid ditahan di sebuah stesen minyak di Surabaya, Jawa Timur.
Polis kemudian menemui dua bom paip yang dibungkus bersama paku ketika menggeledah rumah Majid.
Jurucakap polis, Boy Rafli Amar berkata, suspek mungkin menyasarkan balai polis, kawasan pelacuran terbesar bandar itu dan kelab malam.
Ketua Polis Wilayah Jawa Timur, Unggung Cahyono berkata kedua-dua suspek mempunyai hubungan dengan kumpulan militan di kepulauan Sulawesi yang menggelarkan diri mereka Mujahideen Indonesia Timur yang diketuai oleh orang paling dikehendaki di negara itu, Santoso.
Indonesia melancarkan operasi menghapuskan rangkaian militan sejak lebih sedekad lalu selepas kejadian pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing.
Tindakan tegas yang diambil berjaya menghapuskan kumpulan militan yang dilihat sebagai ancaman utama kepada keselamatan negara, namun saki baki mereka masih ada. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22
No comments:
Post a Comment