Wednesday, January 22, 2014

Mahu sewa cinta


Shanghai: Dicari oleh seorang pemuda kaya: Wanita pengiring untuk diupah sebagai teman meraikan Tahun Baru Cina kali ini bagi mengaburi mata ibunya supaya dia mempunyai kekasih.

Keinginan lelaki terbabit didedahkannya di laman sesawang Weibo semalam.


Dalam kenyataannya, lelaki terbabit mendakwa ibunya mendesak supaya berkahwin segera tetapi dia menghadapi masalah kerana belum mempunyai teman wanita.



Justeru, katanya, cara terbaik untuk dia memuaskan hati ibunya pada musim perayaan akhir bulan ini ialah menyewa seorang wanita sebagai kekasih untuk tempoh tujuh hari. Untuk menarik perhatian wanita yang diingini, lelaki kaya itu menawarkan ganjaran sebanyak satu juta yuan (RM548,900) dengan 200,000 yuan (RM109,778) dibayar sebagai pendahuluan.


Lelaki terbabit juga menawarkan tiket penerbangan percuma dari Shenzen ke Zhengzhou. Dia mungkin kelihatan terdesak tetapi nampaknya tidak sembarang wanita boleh mendapat peluang itu.


Melalui iklan berkenaan lelaki bujang itu meletakkan syarat kepada wanita yang berminat, mereka mesti memiliki berat badan kurang daripada 50 kilogram, tinggi melebihi 168 sentimeter, berwajah ayu dan memiliki pendidikan minimum sarjana muda.

Katanya, dia lebih berminat kepada wanita memiliki ijazah peringkat doktor falsafah, serta masih dara. “Jika wanita yang memenuhi syarat itu menarik perhatian saya, mereka akan diberi bonus 10 peratus,” katanya. Pengumuman itu mendapat perhatian ramai di Weibo - laman sesawang blog mikro popular di China.


Sesetengah pengguna Weibo menganggap tawaran sejuta yuan untuk tempoh seminggu itu setara dengan pendapatan seorang pelakon atau penyanyi poluar Sebahagian yang lain pula mengeluh kerana tidak dilahirkan sebagai wanita, sekali gus melayakkan mereka mencuba nasib, Pos itu menarik 10,000 komen pada hari pertama dengan 5,264 wanita tampil mencuba nasib. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment