Friday, January 24, 2014

Nurul Izzah fail tuntutan fasakh



MAJLIS perkahwinan Nurul Izzah Anwar dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim yang diadakan di kediaman Anwar Ibrahim di Damansara pada pada 9 Mei 2003. - AFP
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sah memfailkan permohonan tuntutan fasakh terhadap suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Perkara itu disahkan oleh seorang kakitangan mahkamah yang enggan dikenali dan tidak mahu mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.
Menurut sumber, Nurul Izzah, 34, yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984 itu, awal bulan ini.
Kes itu telah disebut kali pertama di hadapan Hakim Syarie, Ab. Malek Awang dua hari lalu yang menetapkan sebutan semula kes pada 18 Februari ini.
Nurul Izzah dalam reaksi pantasnya kepada isu tersebut berkata: ‘‘Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.
‘‘Keluarga kami menjadi keutamaan dan kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan serta memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini.’’
Khabar angin mengenai Nurul Izzah memfailkan tuntutan fasakh heboh diperkatakan apabila pihak media menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan permohonan itu difailkan olehnya dua minggu lalu.
Menerusi SMS berkenaan juga, Raja Ahmad Shahrir, 35, dikatakan telah menerima notis saman itu pada 16 Januari lalu.
Pasangan berkenaan berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak berusia empat dan tujuh tahun.
Kepada soalan seorang pengikut Twitternya berhubung kesahihan khabar angin berkenaan, Nurul Izzah dalam jawapannya di laman sosial sama pada 1.58 petang, hanya membalas ‘‘Wassalam...Nope’’.
Bagaimanapun, lewat petang ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, menurut sumber ahli keluarga terdekat pasangan itu, Nurul Izzah mungkin menarik balik permohonan itu Jumaat ini setelah dipercayai dipujuk oleh keluarga untuk berbaik semula dengan suaminya itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140124/ma_01/Nurul-Izzah-fail-tuntutan-fasakh#ixzz2rHwwzi1F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment