SYDNEY 6 Feb. - Kerajaan Australia, hari ini menyatakan hasrat untuk menghadiahkan dua buah bot peronda kepada Malaysia sebagai sebahagian strateginya untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia di rantau ini.
Sempadan Thailand-Malaysia sering dijadikan sebagai transit bagi aktiviti penyeludupan manusia untuk ke Sumatera melalui Selat Melaka, dengan kebanyakan bot pencari suaka yang tiba ke Australia datangnya dari Indonesia.
Bot berkenaan akan diserahkan pada pertengahan 2015 dengan Menteri Imigresen Australia, Scott Morrison menyifatkan tindakan itu sebagai 'strategi operasi yang praktikal untuk membendung jenayah penyeludupan'.
Canberra pada tahun lalu pernah mengambil tindakan sama, apabila menghadiahkan dua buah bot peronda kepada Sri Lanka.
Morrison berkata, Malaysia merupakan rakan utama di rantau ini dan kerjasama dua hala bagi menghalang penyeludupan manusia adalah penting, selepas menyaksikan negara ini berterusan menjadi transit kepada mereka yang ingin ke Australia dengan menggunakan bot.
"Bot berkenaan akan meningkatkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mengawal sempadan perairan, selain membantu menyelamatkan mangsa penyeludupan,'' jelasnya.
Bot-bot yang digunakan oleh agensi pengawasan maritim Australia sejak 1990-an itu, boleh bergerak sejauh 1,000 batu nautika dengan kapasiti 12 orang anak kapal.
Sejak memegang semula tampuk pemerintahan negara pada tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Konservatif mengambil pendirian tegas dalam isu penyeludupan manusia dan pencari suaka di bawah 'Operasi Kedaulatan Sempadan'. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_07/Australia-hadiahkan-2-bot-peronda-kepada-Malaysia#ixzz2saBmnO41
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment