Friday, February 7, 2014

Projek mega sukarkan jemaah


Projek memperluas kawasan sekitar Masjidilharam, mengundang rungutan para jemaah yang mengadu sentiasa sesat dan sukar sampai ke Kaabah. - AGENSI
MEKAH 6 Feb. - Projek menaik taraf Masjidilharam bagi memperluas kawasan tanah suci itu di sini, telah menyebabkan para jemaah sukar mencari jalan untuk menuju ke Kaabah.
Dalam satu tinjauan akhbar Arab News baru-baru ini, pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci itu sesat disebabkan kekurangan papan tanda dan maklumat jalan.
Seorang jemaah dari Turki yang pertama kali datang ke tanah suci, merungut tentang kesukaran untuk mencari jalan masuk ke Masjidilharam.
"Kesesakan jemaah serta projek memperluas kawasan di sini menyebabkan ramai jemaah sesat dan tidak dapat menentukan arah kiblat untuk menunaikan solat.
"Kami memerlukan lebih banyak petunjuk jalan dalam pelbagai bahasa di dalam serta di luar Masjidilharam untuk mengatasi masalah ini. Kakitangan yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa juga boleh membantu dalam hal ini," kata Fatima dari Istanbul.
Menurut pegawai, kira-kira 750,000 jemaah umrah datang ke Mekah setiap bulan dan jumlah tersebut dijangka meningkat sehingga enam juta pada akhir musim ini.
Selain itu, pemandu teksi turut didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi terhadap jemaah, terutama ketika waktu sibuk dan lalu lintas sesak.
Menurut seorang pengunjung, Abdul Rahman, kerajaan seharusnya meletakkan papan notis harga tambang teksi di Masjidilharam.
"Jika tidak, pemandu teksi akan terus mengenakan caj sebanyak 20 riyal (RM17.80) untuk perjalanan jarak dekat dan mengambil kesempatan ke atas jemaah yang tidak boleh menggunakan bas," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_03/Projek-mega-sukarkan-jemaah#ixzz2saB0YLu8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment