|
MAJURO, Kepulauan Marshall - Seorang nelayan El Salvador yang terkandas di laut bersyukur kepada Tuhan kerana dia masih hidup sejurus tiba dengan sebuah bot polis di sini semalam setelah dia hanyut di atas bot lebih setahun.
Nelayan berusia 37 tahun itu, Jose Salvador Albarengo berkata, dia minum darah penyu dan menangkap ikan dan memakannya mentah- mentah serta burung dengan tangan kosong untuk terus hidup.
Albarengo memberitahu pemberita akhbar MailOnline, dia juga meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air bersih.
Albarengo ditemui dalam keadaan kusut masai dan berambut panjang di sebuah pulau terumbu karang dekat sini pada Khamis lalu. Dia dipercayai hanyut selama 16 bulan.
Dua orang lelaki menemuinya selepas bot Albarengo sepanjang 7.3 meter terdampar di pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Ebon Atoll.
Dia kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.
Wajah nelayan itu mirip aktor Tom Hanks yang berjambang semasa dia berlakon dalam filem Cast Away yang ditayangkan pada tahun 2000.
Dalam cerita itu, Hanks yang berlakon sebagai seorang kakitangan syarikat penghantar surat dan bungkusan, terdampar di sebuah pulau di Lautan Pasifik selepas pesawat yang dinaikinya terhempas.
Albarengo memberitahu pihak berkuasa, dia keluar belayar untuk menangkap ikan jerung pada penghujung Disember 2012 dari Mexico yang terletak sekitar 10,000 kilometer dari sini.
Namun, dia dan seorang rakannya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun telah dihanyutkan ombak selepas bot yang dinaikinya ditiup angin dan mereka kemudiannya sesat di lautan.
Namun, rakannya itu telah meninggal dunia sebulan selepas mereka hanyut di lautan.
Seorang pembikin filem yang berpangkalan di sini, Jack Nieden- thal memberitahu agensi berita Reuters, Albarengo turun dari bot tersebut dengan mukanya dipenuhi janggut.
"Dia mengalami kesukaran untuk berjalan, kedua-dua kakinya amat kurus. Saya tidak bersedia untuk menganggap kisahnya itu sebagai satu penipuan," tambahya.
Seorang jururawat lelaki kemudian membantunya menuruni tangga bot tersebut sebelum membawanya ke hospital bagi menjalani rawatan.
"Dia sepatutnya keluar menangkap ikan selama sehari sahaja tetapi dihanyutkan ombak akibat tiupan angin utara," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kepulauan Marshall, Tom Armbruster kepada media.
Nelayan itu memberitahu Armbruster, dia berasal dari El Salva- dor tetapi telah menetap di Mexico selama 15 tahun.
Armbruster menjadi penterjamah kerana nelayan tersebut hanya boleh berbahasa Sepanyol.
Nelayan itu tinggal di Tapachula dekat sempadan Mexico dengan Guatemala dan bekerja untuk syarikat Camoronera Dela Costa.
Albarengo berkata, dia mahu menghubungi keluarganya iaitu isteri dan seorang anak perempuan- nya di El Salvador.
Namun begitu, dia tidak dapat mengingati nombor telefon rumahnya itu.
Edidor Marshall Islands Journal, Giff Johnson berkata, semasa ditemui dua orang penduduk, nela- yan tersebut hanya memakai sepasang seluar dalam.
Menurutnya, terdapat air di dalam bot gentian kaca yang dinaiki- nya itu.
Ketua Imigresen Kepulauan Marshall, Damien Jacklick berkata, pihak berkuasa akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripadanya.
Menurutnya, Jabatan Luar kepulauan itu merancang untuk menghubungi beberapa pegawai di luar negara bagi membolehkan dia dihantar pulang.
Namun, nelayan itu menyatakan, dia tidak dapat mengingati semua kejadian yang berlaku semasa botnya hanyut. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2sMjp7GAw
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment